KEMUNCULAN Huawei Mate 30 dikatakan antara gajet terbaik yang pernah dihasilkan syarikat teknologi multinasional China.
Masakan tidak ia tampil dengan kelas tersendiri dan menjanjikan prestasi yang mengagumkan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perniagaan Pengguna Huawei, Richard Yu, peranti baharu itu bukan sahaja didatangkan dengan ciri spesifikasi terbaharu bahkan memberi pengalaman gambar dan video berkualiti tinggi.
"Prestasi siri Mate 30 lebih baik kerana memiliki kelebihan yang tiada lagi di mana-mana pasaran selain dikuasakan Kirin 990 5G SoC pertama di dunia yang menggabungkan unit pemprosesan dan modem 5G dalam satu cip.
"Huawei Mate 30 Pro dilengkapi spesifikasi lebih mengagumkan dengan keupayaan 40MP Cine Camera selain kamera 3D Depth Sensing yang membolehkan penghasilan bokeh masa nyata,” katanya sempena Majlis Pelancaran Global Huawei Mate 30 Series di Munich, Jerman minggu lalu.
Ujarnya lagi, keupayaan SuperSensing Triple Cameranya cukup canggih kerana dilengkapi kamera SuperSensing 40 Megapiksel (MP) dengan 16MP kamera Ultra Wide selain 8MP kamera Telephoto.
"Kelebihan itu membuatkan Huawei Mate 30 lebih terkehadapan kerana turut menawarkan paparan OLED Horizon Huawei 6.62 inci untuk Mate 30 dan 6.53 inci (Mate 30 Pro),” katanya.
Lengkap dengan teknologi Supercharge, siri terbaharu Huawei itu ditawarkan dalam tiga varian iaitu Huawei Mate 30, Huawei Mate 30 Pro dengan pilihan Mate 30 Pro 5G dan Huawei Mate 30 RS.
Lebih menarik, telefon pintar dengan rekaan edisi Porsche tersebut menampilkan ciri terbaru kamera LEICA selain ciri kawalan pergerakan Kecerdasan Buatan (AI) membolehkan interaksi skrin tanpa sentuhan AI Auto-Rotate dan AI Private View.
Bukan sahaja menampilkan sistem operasi EMUI10, ciri Dark Mode untuk kegunaan waktu malam juga cukup mengancam lebih-lebih lagi dikuasakan dengan 4,200 mAh untuk Mate 30 dan 4500 mAh untuk Mate 30 Pro.
Spesifikasi yang turut menjadi tumpuan adalah kebolehan interaksi sentuhan siri itu yang mana pengguna hanya perlu menggerakkan jari di bahagian tepi telefon pintar berkenaan untuk melaraskan bunyi selain mengubah kedudukan kamera swafoto mengikut keselesaan.
Ada enam pilihan warna iaitu Emerald Green, Space Silver, Cosmic Purple, Black selain Forest Green dan Orange untuk koleksi kulit vegan.
Harga yang ditawarkan untuk Huawei Mate 30 ialah EUR799 (RM3,667), Huawei Mate 30 Pro (EUR1,099 atau RM5,044) dan Huawei Mate 30 RS (EUR2,095 atau RM9,616) bagi pasaran di Eropah.