Pemansuhan tol motosikal beri manfaat 50,000 pengguna

Iklan
Mohd Anuar Mohd Tahir

ISKANDAR PUTERI - Pemansuhan kutipan tol bagi motosikal di Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) dekat Gelang Patah, di sini, mulai tengah malam ini, memberi manfaat kepada kira-kira 50,000 penduduk sekitar Johor Bahru yang menggunakan laluan tersebut secara harian.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, pemansuhan itu sememangnya menjadi berita gembira khususnya buat mereka yang berulang alik ke tempat kerja dari Malaysia ke Singapura sekali gus menjadi hadiah 'tahun baharu' yang cukup bermakna dalam mengurangkan kos sara hidup.

Iklan
Iklan

"Dengan ketiadaan kutipan tol bagi motosikal mulai 1 Januari, kira-kira 50,000 penduduk sekitar Johor Bahru yang menggunakan plaza tol ini secara harian akan mendapat manfaat jangka panjang.

"Mereka juga akan mendapat penjimatan kos di antara RM24.20 sehingga RM66 sebulan berdasarkan kiraan hari bekerja purata 22 hari atau 30 hari sebulan," katanya berucap pada majlis pemansuhan kutipan tol tersebut, di Plaza Tol Tanjung Kupang, Linkedua, di Gelang Patah, di sini, malam ini.

Iklan

Mohd Anuar berkata, pemansuhan tol bagi motosikal berkenaan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2019, 2 November lepas selaras komitmen kerajaan mengurangkan kos sara diri rakyat.

Menurut beliau, dengan pemansuhan itu, pengguna motosikal akan menikmati laluan tanpa tol 19 tahun lebih awal daripada tempoh yang dijadualkan dalam Perjanjian Konsesi Lebuhraya Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).

Iklan

Beliau berkata, Linkedua dibuka kepada pengguna sejak 1998 dan secara tidak langsung telah menyumbang jasa kepada orang ramai khususnya yang bermotosikal secara harian berulang alik ke tempat kerja dari Malaysia ke Singapura.

Sebelum ini, penunggang motosikal perlu membayar tol RM1.10 di Plaza Tol Tanjung Kupang berkenaan. - Bernama