SABAK BERNAM - Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dicadang merombak mana-mana kakitangan jabatan dan unit yang lemah bagi meningkatkan keupayaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, Ahmad Mustain Othman berkata, rombakan itu penting kerana terdapat sesetengah kakitangan yang memegang jawatan terlalu lama dalam jabatan sama.
"Saya berpandangan cuba tukarkan kakitangan yang misalnya sudah 20 tahun di jabatan sama ke jabatan lain kerana kemungkinan mereka berasa jemu menjalankan tugas.
"Mungkin dengan rombakan ini kakitangan yang dipindahkan dapat menjalankan tugas dengan baik manakala individu lebih berkeupayaan dapat diganti menerajui jabatan yang lemah," katanya.
Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak di Balai Rakyat Taman Berjaya di sini semalam.
Bagaimanapun Ahmad Mustain berkata, rombakan itu tidak melibatkan jawatan tertinggi organisasi tersebut.
"Kita tidak mencadangkan rombakan Yang Dipertua MDSB atau Setiausaha MDSB tetapi hanya melibatkan beberapa unit lemah dalam menangani aduan seperti haiwan liar, lembu berkeliaran dan kerosakan jalan," katanya.
Beliau berkata, terdapat banyak rungutan penduduk terhadap perkhidmatan MDSB yang mengambil masa terlalu lama untuk diselesaikan.
"Kita bukan hendak aduan ini dilaksanakan segera untuk projek berjuta-juta tetapi mahu masalah lubang di sesetengah jalan, penutup longkang diselesaikan dalam tempoh dua minggu.
"Malah menjadi amalan agensi kerajaan dan swasta menukar mana-mana kakitangan unit yang lemah untuk diganti dengan mereka yang lebih berwibawa serta efisien," katanya.