Malaysia bakal jadi hab logistik utama Asia Tenggara

Iklan
Michael (tiga dari kanan) bergambar bersama penerima biasiswa daripada PKT Logistics Group Sdn Bhd.

BUKIT MERTAJAM - Menyedari Malaysia dalam landasan menjadi hab logistik utama di wilayah Asia Tenggara, PKT Logistic Group Sdn Bhd mengambil inisiatif menjalinkan kerjasama dengan beberapa universiti tempatan dan politeknik bagi memperkasakan industri logistik di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan, Datuk Dr Michael Tio berkata, beberapa syarikat logistik di Singapura memindahkan operasi mereka di Malaysia berikutan faktor nilai hartanah semakin tinggi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Singapura sebelum ini menjadi negara pertama yang mendahului daripada segi logistik dan terbesar di wilayah Asia Tenggara dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.5 peratus berbanding Malaysia hanya 3.5 peratus.

"Bagaimanapun selepas harga hartanah di negara itu didapati meningkat banyak syarikat logistik di sana dilihat berpindah ke negara ini sekali gus dapat membuka ruang kepada kita untuk meningkatkan KDNK hingga lima peratus,” katanya selepas Majlis Konvokesyen Politeknik Seberang Perai (PSP) di sini.

Iklan

Michael berkata, pihaknya melihat keperluan tenaga kerja dalam bidang logistik akan bertambah dan memerlukan kerjasama dari institusi pendidikan bagi menyediakan individu berkemahiran tinggi untuk bekerja dalam sektor berkenaan.

Katanya, dengan kerjasama yang dijalinkan akan dapat meningkatkan kesedaran antara kedua-dua pihak antara industri dan institut pendidikan tinggi.

Iklan

Terdahulu, PKT Logistic menyumbang biasiswa berjumlah RM240,000 kepada tiga pelajar terbaik PSP yang masing-masing menerima RM80,000 seorang dalam pengajian.