ALOR GAJAH - Pemain industri dan penyelidik terutama dalam industri ternakan ruminan perlu bergerak ke depan dan berani melakukan transformasi untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, golongan berkenaan perlu lebih agresif untuk menerokai bidang baharu yang lebih saintifik dan tidak hanya bergantung kepada teknologi dari negara lain bagi menjamin kelestarian dan pembangunan industri itu.
Menurutnya, perubahan itu wajar dilakukan dalam kadar segera kerana kebergantungan negara terhadap teknologi yang diimport tidak menjanjikan perkembangan mampan.
"Saya yakin Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan terus melaksanakan dasar-dasar yang selari dengan perubahan di dalam masyarakat dan industri dari segi perkembangan pengetahuan dan teknologi berkaitan dengan pertanian.
"Cabaran seterusnya untuk mengangkat industri ternakan menjadi pemain penting dalam usaha ke arah transformasi ekonomi berpendapatan tinggi," katanya.
Wan Azizah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan 125 Tahun Perkhidmatan Veterinar di Dewan Konvensyen Freeport A'Famosa di Simpang Ampat, di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub; Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin; Ketua Menteri, Adly Zahari dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Malaysia, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan.
Jelas Wan Azizah, selain keperluan untuk menyediakan daging dan tenusu, industri penternakan ruminan merupakan satu aktiviti ekonomi terpenting bagi pembangunan luar bandar.
Menurutnya, keadaan itu terbukti pada tahun lalu apabila industri ternakan telah mencatatkan nilai pengeluaran pada tahap 14.785 bilion ringgit dan menyumbang 14.86 peratus pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pertanian dan 1.11 peratus KDNK negara.
Katanya, negara juga mempunyai kekuatan di dalam beberapa subsektor eksport termasuk industri telur, ayam daging dan itik selain sarang burung walit yang telah mencatatkan pertumbuhan sehingga 40 peratus setahun.
"Ini perlu diberi penekanan serta tumpuan kerana ia subsektor yang mesra alam dan mempunyai potensi yang begitu baik," katanya.