"ALLAHYARHAM Yazit merupakan pejuang muzik sejati dan industri muzik tanah air kehilangan seorang legenda pemain drum terbaik negara."
Demikian luahan pemain gitar terkemuka negara, Rizal Abdul Halim atau lebih dikenali Riz Metalasia apabila diminta memberi pandangan mengenai pemergian bekas pemain drum kumpulan Search, Allahyarham Yazit Ahmad, 57, yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur, di sini pagi tadi.
Rizal antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Yazit yang selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Selasih, Kuala Lumpur kira-kira jam 3.40 petang tadi.
Bercakap kepada Sinar Harian, Rizal berkata, dia tidak berkesempatan bermain muzik bersama Allahyarham sepanjang hidupnya, namun begitu kagum dengan semangat kental ditunjukkan Yazit.
Menurutnya, selain mempunyai teknik permainan drum berentak rock yang mantap, Allahyarham Yazit sentiasa dikenali kenalan artis sebagai seorang individu yang sentiasa bekerja kuat untuk menghasilkan karya muzik sendiri.
"Selain itu, Allahyarham boleh dianggap sebagai pejuang muzik sejati, di mana dia sanggup untuk mengenepikan kesakitan dihadapi bagi memenuhi undang persembahan dan sebagainya.
Sementara itu, komposer dan penyanyi terkenal, Datuk M Nasir sewaktu ditemui mengakui hubungan beliau dengan Allahyarham Yazit sangat baik sehingga kedua-duanya saling berkongsi hal peribadi.
Menurutnya, Allahyarham Yazit merupakan seorang pemuzik sentimental, namun mempunyai semangat tinggi dalam memartabatkan industri muzik sehingga sanggup datang berjumpa dengan beliau menceritakan projek muzik akan datang sekalipun dalam keadaan sakit.
"Beliau (Allahyarham Yazit) sentiasa positif dan bersemangat dengan muzik walaupun sakit," katanya.
Dalam pada itu, suasana pilu menyelubungi pemergian Allahyarham Yazit yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih pada jam 3.40 petang tadi.
Solat jenazah sebelum itu berlangsung di Masjid Salehuddin Al-Ayyubi Taman Melati di ibu negara.
Kelihatan ramai kenalan artis, ahli keluarga dan sahabat handai Allahyarham Yazit yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir kepada legenda pemain drum terkemuka negara itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Penghormatan terakhir buat Yazit
Beberapa anggota kumpulan Search lain seperti pemain gitar bass, Nasir Daud; pemain gitaris utama, Hamzah Mohd Taib dan pemain gitar rhythm, Nordin Taib turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Yazit.
Allahyarham Yazit yang sebelum ini dilaporkan kritikal sejak kelmarin, disahkan meninggal dunia pada jam 11.53 pagi tadi.
Allahyarham Yazit meninggalkan isteri, Ramlah Ahmad, 59, dan tiga anak iaitu Razilah, 38, Shahmirnuri, 34, dan Shafiqa Nurlis, 29.