MELAKA - Melaka menangguhkan pelaksanaan bekalan air berjadual berikutan paras air di sungai dan loji rawatan di negeri itu semakin pulih, menurut Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Khalid Nasir berkata, walaupun Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) meluluskan pelaksanaan bekalan air berjadual bagi mengawal penggunaan air mentah namun pihaknya hanya akan melaksanakan langkah itu sekiranya diperlukan.
Iklan
Iklan
"Setakat ini sungai sudah mula penuh dan loji (rawatan air) pun sudah mula capai (paras air) maksima, keadaan sudah mula pulih.
"Kawasan yang terputus bekalan air pun semakin berkurangan. Sekarang ini fokus kita adalah untuk penuhkan semula air terutama di Empangan Durian Tunggal," katanya ketika dihubungi pemberita di sini malam ini.
Mohd Khalid berkata, dengan cuaca hujan sejak beberapa hari ini, SAMB sedang mengepam air dari kolam takungan ke empangan bagi menstabilkan paras air di empangan negeri ini.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya bekalan air berjadual dilaksanakan, pengguna akan dimaklumkan tiga atau empat hari lebih awal.
Selain Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah, dekat sini, Melaka mempunyai dua lagi empangan iaitu Empangan Jus dan Asahan kedua-duanya di Jasin. - Bernama