Rokok seludup: 4 rakyat Malaysia ditahan di Singapura

Iklan
Gambar hiasan

SINGAPURA - Empat rakyat Malaysia adalah antara 13 lelaki yang ditahan kerana terlibat dalam kes rokok seludup dalam serbuan selama dua hari oleh Kastam Singapura minggu lepas.

Dalam satu kenyataan di sini, Kastam Singapura berkata, pihaknya merampas 26,714 karton dan 840 paket rokok tanpa dibayar cukai dan menahan 13 lelaki di lima lokasi berasingan.

Iklan
Iklan

Keempat-empat rakyat Malaysia itu ditahan pada hari pertama serbuan.

Pada 18 September Kastam Singapura melakukan pemeriksaan ke atas dua trak berdaftar di Singapura di sekitar Choa Chu Kang Avenue 2 dan 3 dan menemukan kotak mengandungi rokok yang tidak dibayar cukai dalam kedua-dua trak.

Iklan

"Tiga lelaki Malaysia berusia antara 31 dan 36 tahun ditahan kerana berurusan dengan rokok tanpa dibayar cukai dan 2,142 karton rokok yang tidak dibayar cukai telah disita," kata kenyataan itu.

Pada hari yang sama, Kastam Singapura menyerbu ke sebuah unit gudang di Bukit Batok Crescent dan mengesan empat lelaki sedang memunggah rokok tanpa dibayar cukai dari palet kotak karton dalam unit tersebut.

Iklan

Keempat-empat lelaki tersebut, seorang rakyat Malaysia dan tiga warga Indonesia berumur antara 20 dan 40 tahun ditahan dan 12,513 karton dan 840 paket rokok tanpa cukai dirampas.

Pada hari terakhir serbuan, Kastam Singapura menahan enam lelaki warga Singapura.

Menurut kenyataan itu, pesalah boleh didenda sehingga 40 kali jumlah duti dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang tidak dibayar dan/atau dipenjara sehingga enam tahun sementara kenderaan yang digunakan dalam melakukan kesalahan itu akan dilucuthak.

Jumlah duti dan GST yang tidak dibayar berjumlah, masing-masing kira-kira S$2,389,280 dan S$175,660. - Bernama