KUALA LUMPUR - Tiga lelaki disyaki memuat naik kenyataan berbaur hasutan dan perkauman berhubung insiden amuk di Bayan Lepas, Pulau Pinang ditahan polis semalam.
Ketiga-tiga lelaki tempatan berusia 28 hingga 42 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan di Pulau Pinang dan Kedah.
Timbalan Pengarah Forensik/Databank/DNA/Perancangan Strategik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki berusia 32 tahun pada jam 1.15 tengah hari di Butterworth, Pulau Pinang oleh anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
Menurutnya, dua lelaki berusia 28 dan 42 tahun masing-masing bekerja sebagai pemandu jentera jentolak dan subkontraktor ditahan dalam dua serbuan di Lunas dan Kuala Muda, Kedah jam 5 petang dan jam 12.07 tengah malam.
"Siasatan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan telefon bimbit mereka dirampas untuk siasatan.
"Permohonan reman akan dibuat hari ini dan siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, polis akan menahan mereka yang menularkan komen berbaur perkauman dan agama berdasarkan sesuatu kes jenayah berikutan kes amuk itu.
Dalam kejadian pada jam 4.45 petang Isnin lalu, lelaki berusia 25 tahun yang bekerja di kilang terbabit mengamuk sebelum menetak penyelia wanita dan pengurus keselamatan menggunakan parang.
Penyelia wanita berusia 47 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang kerana cedera parah di beberapa bahagian badan terutama kepala manakala lelaki yang juga pengurus keselamatan berusia 53 tahun cedera, tetapi berada dalam keadaan stabil. - Bernama