PROGRAM Rahsia Insan Cemerlang Hidup (RICH) 1.0 kini kembali mengisi kalendar tahun baharu 1441H dengan menampilkan tajuk Kenapa Rezeki Tak Murah yang diadakan di Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam, Selangor bermula jam 4.30 pagi hingga 7.30 pagi pada 21 September lalu.
Pengisian program tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail.
Fazrul berkata, RICH bertujuan melatih diri kita bangun awal dan beribadah kepada ALLAH SWT. Dalam erti kata yang lain, 'Me time' iaitu masa untuk diri sendiri bersama ALLAH SWT. Itu merupakan proses pengupayaan dan pemerkasaan diri semakin dekat dengan ALLAH.
"Dalam Surah al-Muzammil dan Surah al-Muddathir menunjukkan, ALLAH SWT mempersiapkan Nabi Muhammad SAW yang diangkat menjadi rasul untuk bangun malam. Terdapat banyak rahsia solat malam sebagaimana disebut dalam Surah al-Isra’, ayat 76 hingga 86.
"Bertadabbur ayat 76, ALLAH memujuk Rasulullah SAW yang gelisah dalam menghadapi cabaran dalam berdakwah hingga keluar dari Makkah. Ini sebagaimana berlaku kepada para rasul terdahulu dalam mengajak umat kepada kebaikan,” katanya ketika berkongsi ilmu dalam program berkenaan baru-baru ini.
Program RICH yang dianjurkan oleh WUIF dan Rumah Ngaji dengan kerjasama Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd turut disiarkan secara langsung melalui Facebook Live @ World #QuranHour untuk tontonan umum.
Pada program berkenaan, selain membaca al-Quran dan bertadabbur ayat pilihan, sesi tersebut direhatkan pada jam 5 pagi untuk memberi laluan kepada peserta mendirikan solat sunat tahajud dan Subuh.
Ia kemudian diteruskan pada jam 6.30 pagi dengan perkongsian daripada tokoh. Bukan itu sahaja, RICH turut berkongsi rakaman video Pengasas WUIF merangkap Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub yang bercerita pengalaman hidup beliau dalam meraih rezeki.
Sesi tersebut diakhiri dengan resolusi atau tindakan daripada sesi tadabbur ayat al-Quran pilihan yang boleh diambil oleh peserta.
Keberkahan bangun malam