LANGKAWI - Sebuah pesawat ATR 72-600 Malindo Air yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang, mengalami masalah teknikal semasa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) di sini pagi ini.
Pesawat OD1411 yang membawa 61 penumpang dan lima anak kapal itu bagaimanapun selamat mendarat pada jam 9.45 pagi tadi.
Pengurus Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) Langkawi, Jefry Ramli berkata, menara kawalan trafik udara LIA telah memaklumkan perkara tersebut pada jam 9.40 pagi dan tiga buah jentera Airport Fire Rescue Service (AFRS) telah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
"Pesawat OD1411 tersebut selamat mendarat pada jam 9.45 pagi dan diiringi tiga jentera AFRS ke parkir pesawat.
"Semua penumpang selamat dan tiada kecederaan dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, seorang penumpang pesawat berkenaan yang enggan dikenali berkata, beliau menyedari kipas pesawat tersebut tidak berfungsi kira-kira 10 minit sebelum pesawat tersebut melakukan pendaratan.
"Tiada sebarang pengumuman dibuat oleh juruterbang mengenai masalah dihadapi pesawat ketika itu, mungkin mereka tidak mahu timbulkan situasi panik.
"Tetapi Alhamdulillah pesawat berjaya mendarat dengan selamat,” katanya ketika dihubungi.- Bernama