SHAH ALAM - Mahkamah Koroner memutuskan bahawa anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Muhammad Adib Mohd Kassim ditarik keluar oleh seseorang dan menghentak semula pada daun pintu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang ketika itu sedang berundur.
Koroner Rofiah Mohamad berkata, perbuatan itu telah menyebabkan dada arwah mengalami kecederaan trauma tumpul.
"Semasa ditarik, posisi arwah pada kedudukan 45 darjah ke bawah dan telah tersepit antara pintu dan jenang pintu EMRS," katanya.
Menurutnya, teori SI (saksi inkues) 29 iaitu Professor Dr Shahrom Abd Wahid bahawa Muhammad Adib ditarik keluar dari EMRS dan dihentak ke pintu sebelum diseret ke jalan adalah munasabah berbanding teori SI24 iaitu Pakar Patalogi Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Hafizam Hasmi.
"Penyerang juga telah mengangkat arwah yang dalam posisi 45 darjah itu dan menghentakkan pada hujung daun pintu EMRS sehingga menyebabkan kepatahan pada konteks hujung tulang rusuk kiri yang berbentuk lurus," katanya.
Pada masa sama arwah sekali lagi ditarik dan pintu tersebut diterajang sehingga hentaman itu terkena pada bawah lengan kanan Muhammad Adib. Sentuhan berimpak tinggi dalam keadaan arwah ditarik telah menghasilkan corak berbentuk seretan pada badannya yang bersentuhan dengan daun pintu.
"Memadai untuk saya menyatakan bahawa mahkamah memutuskan untuk menolak teori SI24 dan sebaliknya menerima SI29," katanya.
Beliau berkata, antara asasnya adalah kerana SI30 iaitu Pakar Fizik yang secara muktamadnya menyatakan bahawa pengiraan daya SI24 adalah tersasar.
"Ia kerana SI24 telah mengambil kira keseluruhan berat EMRS sedangkan pintu EMRS bersambung dengan badan EMRS dengan cara 'pin joint' yang masing- masing mempunyai graviti tersendiri," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Kematian Adib disebabkan jenayah sekumpulan individu tidak dikenali
Sehubungan itu pengiraan daya yang tepat dalam kes ini adalah dari kekuatan impak mengena badan arwah dengan mengira berat jisim pintu kiri EMRS sahaja yang dianggarkan max 30 kg berbanding 1,800 kg van EMRS tersebut.
"Dengan pengiraan daya ini daya yang terkena pada badan arwah adalah 382 Newton yang bersamaan dengan 42 kg.
"Kekuatan ini tidak cukup menyebabkan arwah untuk terpelanting dan terhumban. Oleh itu teori SI24 itu telah tertolak dengan sendirinya," katanya.
Beliau berkata, teori SI24 yang menyatakan Muhammad Adib terhumban ke bahu jalan adalah menyalahi hukum fizik.
"Daya pergerakan impak adalah mengikut arah daya yang dikenakan.
Dalam kes ini arwah telah dihentam oleh pintu van EMRS yang mengundur.
Jika benar dia turun sendiri dan dihentam oleh pintu EMRS yang sedang berundur, maka saya percaya kecederaan yang dialami arwah adalah 'crush injury'," katanya.
Rofiah berkata, sekiranya ia berlaku kebarangkalian Muhammad Adib akan digilis oleh tayar EMRS dan FRT yang mengundur dan akan meninggal serta-merta di tempat kejadian.
"Teori arwah juga ditolak," katanya.