GEORGETOWN - Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pulau Pinang merampas 90 karton pelbagai jenis rokok putih dan 1,157 botol minuman keras dipercayai tanpa cukai di Balik Pulau, semalam.
Komandernya, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, kesemua barangan itu dirampas dalam serbuan yang dijalankan oleh sepasukan polis marin ke atas dua premis perniagaan pada jam 12.30 tengah hari.
Menurutnya, ketika pemeriksaan dijalankan di premis pertama, pihaknya menemui 90 karton yang mengandungi 18,000 batang rokok putih.
"Serbuan dibuat selepas kita memperoleh maklumat mengenai penjualan rokok dan minuman keras tanpa cukai. Serbuan pertama, kita menemui beberapa kotak rokok yang dipamerkan pada kaunter premis tersebut dipercayai untuk jualan.
"Setelah diperiksa, kita menemui 90 karton rokok yang disorokkan di bawah kaunter dan stor premis tersebut.
"Sehubungan itu, kita menahan pemilik premis iaitu seorang wanita berusia 58 tahun," katanya pada sidang akhbar di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Batu Uban di sini tadi.
Rosman berkata, serbuan di premis kedua berjaya menemui 1,157 botol minuman keras dipercayai tanpa cukai.
"Ketika serbuan dibuat, kita mendapati semua botol minuman keras tersebut diletakkan di bahagian tengah kedai dan dalam almari cermin pameran. Setelah diperiksa, kesemua minuman keras itu tidak berbayar cukai.
"Kita menahan pemilik kedai tersebut iaitu lelaki berusia 46 tahun untuk siasatan lanjut. Nilai anggaran keseluruhan rampasan barangan itu adalah RM56,759 iaitu rokok bernilai RM18,821 manakala minuman keras RM37,937," katanya.
Katanya, kesemua rampasan dibawa ke Pangkalan Polis Marin, Batu Uban sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.
Beliau berkata, sehingga Ogos tahun ini, pihaknya membuat 34 rampasan dan serbuan mengikut Akta Kastam 1967 melibatkan nilai rampasan RM11.2 juta.