KUALA KEDAH - Keluarga anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Balai Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kassim menyifatkan doa mereka termakbul apabila kematiannya diputuskan Mahkamah Koroner adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.
Ibu Allahyarham, Asma Aziz, 52, berkata, dia bersyukur apabila doanya tanpa putus selama ini supaya kematian arwah Muhammad Adib mendapat keadilan berdasarkan keputusan inkues hari ini.
Menurutnya, dia mendapat khabar gembira terbabit daripada ahli keluarga mereka memaklumkan keputusan inkues yang memutuskan kematian arwah anaknya adalah disebabkan perbuatan jenayah dan bukannya akibat dilanggar.
"Sebaik menerima berita keputusan inkues itu, mak cik dan suami menangis. Perasaan kami bercampur baur antara sedih, gembira, terharu dan pelbagai.
"Sebab walaupun kematian arwah Muhammad Adib terbela dan mendapat keadilan namun ia tidak mampu mengembalikan anak lelaki kami," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tebengau di sini tadi.
Menurutnya, kini mereka sekeluarga menuntut supaya individu mengakibatkan kematian anak lelakinya dihadapkan pula ke muka pengadilan secepat mungkin.
"Kami harap individu terlibat atas kejadian itu ditangkap.Dari segi hukuman,kami diserahkan kepada undang-undang," katanya.
Katanya, tidak dinafikan dia ingin mendengar keputusan inkues sendiri bagaimanapun tidak pergi kerana ketakutan.
Bagaimanapun Asma berkata, dia dan suami akan menaiki tren dari Alor Setar ke Rawang selepas solat Jumaat untuk bertemu keluarga mereka hari ini.
Bapanya, Mohd Kassim berkata, walaupun berduka dia turut melahirkan rasa kelegaan dan gembira dengan keputusan inkues berhubung kematian arwah anak lelakinya itu.
Menurut Mohd Kassim, mereka sekeluarga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan selama ini dalam usaha menuntut pembelaan atas kematian Muhammad Adib.
Katanya, mereka kini berharap suspek yang bertanggungjawab menyebabkan kematian anak lelakinya itu dibawa ke muka pengadilan segera.
Menurutnya, dia menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan mencari dalang penyebab kematian anak mereka.
Terdahulu, Mahkamah Koroner memutuskan kematian arwah Muhammad Adib adalah akibat daripada tindakan jenayah sekumpulan individu yang tidak dikenali.
Hakim Koroner Rofiah Mohamad membuat keputusan beliau pagi tadi selepas prosiding perbicaraan memakan masa 41 hari.
Dalam keputusannya, Rofiah berkata, kecederaan lung chest trauma dialami Muhammad Adib disebabkan arwah telah ditarik keluar dari van unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS).
Pada 27 November 2018 Muhammad Adib parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 Subang Jaya dekat sini.
Namun Allahyarham Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.
ARTIKEL BERKAITAN Kematian Adib disebabkan jenayah sekumpulan individu tidak dikenali