SHAH ALAM - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mahu pelaku yang bertanggungjawab terhadap kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim perlu dibawa ke muka pengadilan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, individu yang terlibat perlu dibicarakan mengikut proses perundangan berteraskan prinsip keadilan.
Selepas mendengar keputusan inkues di Mahkamah Koroner pagi tadi, beliau turut mengucapkan tahniah kepada barisan peguam Allahyarham Muhammad Adib yang berusaha demi membuktikan keadilan berpihak kepada anggota keselamatan terbabit.
"Tahniah, ALLAH jua dapat membalas jasa panel peguam yang memperjuangkan keadilan untuk Allahyarham.
"Terima kasih juga kepada masyarakat di atas keprihatinan yang berterusan tanpa berbelah bahagi dalam mendoakan agar kes inkues Allahyarham dijalankan dengan baik dan keadilan diberi sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mohammad Hamdan berkata, Allahyarham Muhammad Adib adalah simbol yang melambangkan kesetiaan, komitmen, pengorbanan dan dedikasi seluruh penjawat awam.
Katanya, Allahyarham tetap menunaikan amanah dan tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.
Mahkamah Koroner, Rofiah Mohamad membuat keputusannya pagi tadi selepas prosiding perbicaraan memakan masa 41 hari.
Dalam keputusannya, Rofiah berkata, kecederaan lung chest trauma dialami Muhammad Adib disebabkan arwah telah ditarik keluar dari van unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS).
"Saya merumuskan bahawa kecederaan lung chest trauma yang dialami Muhammad Adib adalah bukan perbuatan diri," katanya.
Menurutnya, kegagalan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal keadaan semasa turut menyumbang kepada kematian Muhammad Adib.
"Polis gagal mengawal perusuh yang menyerang FRT dan EMRS sebaik sahaja sampai ke lokasi untuk memadamkan kebakaran," katanya.
Sehubungan itu, Rofiah berkata, mahkamah menyerahkan dapatan tersebut kepada Ketua Polis Negara dan Peguam Negara untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan sekiranya diperlukan.
Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan JPBM Subang Jaya parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.
ARTIKEL BERKAITAN: Kematian Adib disebabkan jenayah sekumpulan individu tidak dikenali