50 jam angkat treler muatan kimia terbalik

Iklan
Tangki treler muatan cecair mudah bakar akhirnya berjaya dibawa keluar sekitar jam 10 pagi tadi.

BAGAN SERAI - Selepas lebih 50 jam, treler muatan cecair mudah bakar yang terbalik dalam sebuah tali air di Parit Mentara 3 di sini akhirnya berjaya dibawa keluar sepenuhnya dari kawasan penempatan penduduk, pagi tadi.

Treler muatan 25,500 liter cecair kimia jenis Acetone Thinner itu dinaikkan dari tali air dengan bantuan kren pada jam 10.30 malam tadi sebelum ditunda menggunakan lori penunda sekitar jam 10 pagi hari ini.

Iklan
Iklan

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, dua kren terpaksa digunakan untuk mengalihkan treler berkenaan ke darat sebelum kerja-kerja overhaul dilakukan di tempat kejadian.

"Sebaik kenderaan berat terbabit dibawa keluar, Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat penilaian kualiti air di kawasan itu, selepas dipastikan selamat barulah penduduk yang berpindah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing," katanya.

Iklan

Petang semalam, operasi mengalihkan tangki treler itu tidak dapat diteruskan selepas kren digunakan mengalami kerosakan teknikal akibat disambar petir.

Sepanjang tempoh operasi, sebanyak lima keluarga terdiri 24 orang termasuk seorang bayi perempuan diarah mengosongkan rumah atas faktor keselamatan.

Iklan

Mohamad Yunus berkata, kawasan dalam radius 100 meter perlu dikosongkan bagi mengelak kemungkinan penduduk terhidu bahan kimia tersebut.

Bagaimanapun katanya, pengawasan dan kawalan yang dilakukan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) menjadikan bahan kimia terbabit dapat dikawal.

"Operasi oleh JBPM Perak tamat pada jam 11.30 malam tadi," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parit Mentara 3, Halmi Omar berkata, penduduk yang diarahkan mengosongkan rumah ditempatkan sementara di surau kampung berkenaan dibawah pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Pihak JKM menyediakan segala keperluan kepada semua mangsa termasuklah makanan, jika tiada apa-apa kesan susulan, kemungkinan mereka semua dibenarkan pulang pada petang ini," katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 5 pagi Rabu lalu, sebuah treler dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun dalam perjalanan dari Klang, Selangor ke Pulau Pinang terbabas sendiri dan masuk ke dalam parit di sebelah kanan jalan laluan berkenaan.

Siasatan mendapati, berlaku kebocoran dari tangki menyebabkan cecair dibawa mengalir keluar dan masuk ke tali air.

ARTIKEL BERKAITAN Treler bawa cecair kimia terbalik, bomba operasi 24 jam