SEREMBAN - Polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung video pergaduhan sekumpulan pelajar dipercayai dari sebuah sekolah di Seremban Jaya yang tular di Facebook semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, laporan polis berkenaan kejadian itu sudah diterima namun setakat ini masih belum ada pelajar yang ditahan untuk disoal siasat.
Video berdurasi 28 saat itu memaparkan sekumpulan lebih 10 pelajar lelaki sekolah menengah berbaju sekolah dan ada yang memakai pakaian sukan bergaduh dan saling tolak menolak.
Berdasarkan rakaman berkenaan didapati kejadian berlaku di luar kawasan sekolah dan turut dilihat oleh pelajar lain.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Pkharuddin Ghazali ketika dihubungi turut memberitahu masih belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.
"Tapi kita akan membuat siasatan mengenai kebenaran kejadian itu berlaku di sekolah yang dinyatakan dan akan ambil tindakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.