PEREKA fesyen berbakat besar, Syaiful Baharim kembali beraksi di pentas peragaan Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2019 (KLFW 2019) yang berlangsung di ibu kota pada bulan lalu selepas 'menghilangkan diri' dalam tempoh dua tahun.
Beliau yang juga pemenang Jarum Berlian 2002 kini tampil dengan penjenamaan baharu yang dikenali sebagai SB.
Pemilihan jenama tersebut disifatkan simbolik pada huruf pertama nama beliau.
Justeru, sempena memeriahkan kemunculan semula di pentas KLFW tahun ini, label SB menampilkan variasi busana berkonsepkan Resort Wear khas buat wanita yang mendambakan gaya percutian serba mewah.
"Saya mengambil masa selama enam bulan bermula daripada proses melakar dan seterusnya menghasilkan koleksi Resort Wear ini.
"Pastinya, ia bukan tugasan yang mudah. Bagaimanapun, saya atasinya secara perlahan-lahan supaya tidak mengabaikan signatur rekaan," jelasnya dalam satu kenyataan kepada Femina baru-baru ini.
Selain dres, Resort Wear SB turut menampilkan celana, blaus, kemeja, jaket dan gaun mini yang ideal digayakan pelbagai peringkat umur memandangkan rekaannya tidak sarat dan keterlaluan.
Dari segi warna, Syaiful nampaknya lebih cenderung memilih putih dan terra cotta sebagai nuansa utama termasuk bermain konsep cetakan agar selari dengan tema Resort Wear.
Sementara itu, fabrik jenis sutera, sifon, kain kapas, kain kasa dan denim pula menjadi pelengkap istimewa dalam menyerlahkan kesempurnaan koleksi pakaian jenama keluaran SB.
Tambah beliau, koleksi SB kali ini mengetengahkan busana lebih fleksibel dan memahami kehendak wanita yang ingin tampak bergaya mengikut situasi dan destinasi.
Pada masa sama, menerapkan unsur komersial dalam setiap helaian rekaan.
"Tatkala melahirkan koleksi (Resort Wear) ini, saya membayangkan seorang wanita sedang menikmati momen percutian di resort mewah.
"Gayanya bersahaja, tetapi masih kelihatan anggun dan mempersonakan," ujarnya.
Keterangan lanjut mengenai koleksi fesyen Resort Wear SB, sila layari laman Instagram @syaifulbaharimrtw.