COLOMBO - Sekurang-kurangnya empat ekor gajah ditemui mati di tengah Sri Lanka hari ini dengan polis mengesyaki haiwan terbabit diracun penduduk kampung.
Hampir 200 ekor gajah dibunuh setiap tahun di negara itu kebanyakannya oleh petani selepas haiwan berkenaan sesat dan merosakkan hasil tanaman mereka.
Polis berkata, seekor gajah betina yang sedang bunting dan gajah jantan antara empat bangkai gajah yang ditemukan di rizab hutan berhampiran Sigiriya iaitu lokasi Tapak Warisan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
"Kami telah menghubungi pegawai veterinar dan pakar hidupan liar untuk menjalankan autopsi," kata pegawai polis di Sigiriya kira-kira 175 kilometer di utara Colombo.
Tambahnya, pihak polis mengesyaki terdapat gajah lain yang mati namun belum menemui bangkai haiwan terbabit.
Katanya lagi, terdapat kejadian melibatkan gajah liar menyerbu kampung dan memusnahkan tanaman di kawasan itu.
"Kami mengesyaki gajah-gajah itu mungkin telah diracun dan kami sedang menyiasat," katanya sambil menambah kesemua mamalia tersebut berumur 15 hingga 25 tahun.
Membunuh gajah boleh dikenakan hukuman mati di Sri Lanka.
Menurut bancian terkini populasi gajah di Sri Lanka berkurangan kepada 7,000 ekor berbanding kira-kira 12,000 ekor di awal abad yang lalu. - AFP