TANAH MERAH - Kanak-kanak kurang upaya (OKU), Muhammad Aqil Azfar Che Azman yang rentung dalam kebakaran di Kampung Kuala Paku di sini merupakan seorang yang hiperaktif.
Pemangku Ketua Polis Tanah Merah, Asistan Supritendan Mohd Zailal Wasubri ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu siasatan awal polis mendapati ketika kejadian mangsa ditinggalkan bersama seorang kakak yang berumur 13 tahun.
"Semasa kejadian ibu serta neneknya keluar ke farmasi pada jam 9 pagi untuk urusan keluarga.
"Kakak mangsa dikatakan tidak sempat menyelamatkan mangsa berikutan api marak dengan cepat," katanya.
Mohd Zailal memberitahu, mangsa yang berasal dari Sungai Keladi, Pasir Mas itu dikatakan ke rumah neneknya sejak semalam bersama ibu dan lima adik-beradik yang lain.
Sementara itu bapa mangsa, Azman Mansor, 39, ketika ditemui di Hospital Tanah Merah memberitahu, beliau dimaklumkan mengenai kejadian oleh anak sulungnya, Nor Alia.
"Anak sulung saya telefon pada jam 12.20 tengah hari. Saya terus bergegas ke lokasi. Arwah memang akan pulang ke rumah neneknya setiap dua minggu sekali," katanya.
Beliau turut memberitahu anaknya memang seorang yang hiperaktif dan tidak boleh bercakap.
Aqil hanya akan menarik tangan ahli keluarga bagi menunjukkan sesuatu yang diinginkan.
Arwah Aqil akan dikebumikan di Tanah perkuburan Ron Cenok Sungai Keladi Pasir Mas malam ini.
ARTIKEL BERKAITAN Budak OKU rentung dalam kebakaran