'Arwah sempat sedekah bayam brazil kepada rakan-rakan'

Iklan
Gambar kenangan Siti Rosmini bersama suami.

GUA MUSANG -"Semalam arwah sedekah banyak plastik sayur bayam brazil kepada saya dan minta agihkan kepada rakan-rakan lain," jelas rakan kepada pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Kilometer 57, Jalan Gua Musang - Kuala Krai petang tadi.

Dalam kejadian pada jam 4.35 petang, pasangan suami isteri, Muhammad Zaim Ismail, 24, dan Siti Rosmini Mohamad, 27, maut selepas kenderaan yang dinaiki terbabas lalu dirempuh treler muatan gas di laluan bertentangan.

Iklan
Iklan

Menurut Norziha, 27, tiada sebarang tanda-tanda perubahan malah arwah kelihatan ceria seperti biasa.

"Tidak sangka begitu cepat dia pergi malah petang tadi, saya sempat melihat perkongsian terakhirnya di aplikasi Facebook, dalam perjalanan bersama suami," katanya.

Iklan
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan.

Rosmini dan Zaim baharu sahaja mendirikan rumah tangga pada tahun lalu dan Rosmini pernah keguguran pada awal tahun ini.

Bagi pemilik restoran Anjung Selera Seafood, Nurhidayah Mustapha, dia memberitahu pasangan ini baru sahaja ke restorannya beberapa hari lalu.

Iklan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan ke arah Kuala Krai.

Katanya, tiba di lokasi kejadian, kenderaan jenis Toyota Hilux yang dinaiki mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke bahagian kiri jalan.

"Selepas itu kenderaan terbabit berpusing dalam tersasar masuk ke laluan bertentangan yang mana ketika itu treler muatan gas dari arah Kuala Krai menuju ke Gua Musang.

"Pemandu treler, Mohd Fazli Zakariya, 35, tidak sempat memberhentikan kenderaan kerana jarak yang terlalu dekat dan kemudian bertembung dengan kenderaan mangsa.

"Kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk proses bedah siasat," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu Ketua Balai Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Arifuddin Akif Mohd Noor berkata, kedua-dua mangsa tersepit dalam kenderaan terbabit.

Katanya, sembilan anggota ditugaskan untuk kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan set peralatan Hidrolik Resque Unit.