Panching Farm bermula dengan 10 ekor kambing

Iklan
Bermula dengan membela 10 ekor kambing biri-biri, usahawan Zulkifli Sulaiman kini berdiri megah apabila mampu menghasilkan susu kambing dengan jenama Panching Farm. - Foto Bernama

KUANTAN - Bermula dengan membela 10 ekor kambing biri-biri, usahawan Zulkifli Sulaiman kini berdiri megah apabila mampu menghasilkan susu kambing dengan jenama Panching Farm.

Zulkifli, 46, berkata jenama Panching Farm diambil sempena lokasi kandang kambingnya yang terletak di Felda Gugusan Panching di sini, yang kini 'dihuni' 100 ekor kambing Saanen selepas mendapat nasihat daripada rakan yang bekerja dalam bidang veterinar untuk menukar jenis kambing peliharaannya.

Iklan
Iklan

Katanya, baka Saanen yang berasal dari Lembah Saanen di Switzerland sememangnya terkenal dengan pengeluaran susu berkualiti menyebabkan beliau mengimport kambing baka itu dari Australia bermula tahun 2005.

Zulkifli berkata beliau bersama empat pekerja mampu menghasilkan kira-kira 200 botol susu sehari, dengan proses memerah dilakukan di petak kambing selepas kawasan itu dibersihkan. Beliau yang masih lagi berkhidmat dalam bidang minyak dan gas, mula menjual susu kambing asli pada tahun 2009 dan sejak tiga bulan lepas, menambah susu berperisa coklat, jagung, strawberi dan kurma ke dalam produknya.

Iklan
Zulkifli berkata baka Saanen yang berasal dari Lembah Saanen di Switzerland sememangnya terkenal dengan pengeluaran susu berkualiti menyebabkan beliau mengimport kambing baka itu dari Australia bermula tahun 2005. - Foto Bernama

Katanya, semua produk tersebut yang dibotolkan dalam kuantiti 250 mililiter dijual pada harga RM6 bagi perisa asli dan RM6.50 bagi yang setiap perisa.

"Kami mengambil masa yang lama untuk mencari rasa yang sesuai. Pelbagai cubaan dilakukan dengan keluarga menjadi pengkritik paling hebat sehingga dapat mencari resipi sendiri. Susu Panching Farm tidak mempunyai bau hamis seperti anggapan orang terhadap susu kambing selain menggunakan bahan terbaik seperti perisa kurma yang diperoleh dari Iran," katanya.

Iklan

Zulkifli juga menyifatkan pemakanan kambing ternakannya yang hanya diberi makan pelepah sawit dan rumput guatemala juga sebagai faktor susu Panching Farm tidak berbau selain baka Saanen sediri terkenal dengan kualiti susu yang berlemak.

Sebagai perancangan masa akan datang, Zulkifli berhasrat menambah produk susu tepung pada pengeluaran Panching Farm kerana sering menerima pertanyaan pelanggan yang beranggapan ia 'lebih mudah untuk dibawa berjalan'.

Katanya, bukan tidak mahu memasarkan susu Panching Farm ke luar negara, namun enggan 'memperjudikan' kualiti produk tersebut menyebabkan susu itu setakat ini, hanya boleh diperoleh daripada stokis dan pasar raya Darul Makmur sekitar Pahang.

Stokis Panching Farm pula, menurut Zulkifli berada di sekitar Melaka, Johor, Terengganu, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor.

Lumrah orang berniaga, Zulkifli berkata beliau pernah diuji apabila 28 ekor kambing miliknya dicuri sekitar tahun 2016 menyebabkan beliau kerugian lebih RM100,000. - Bernama