KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Ayahanda Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V iaitu Sultan Ismail Petra mangkat di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini pada jam 8.11 pagi tadi.
Pengumuman kemangkatan Sultan Ismail Petra,69, yang juga Sultan Kelantan ke-28 dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di Kota Darul Naim di sini.
Ahmad Yakob berkata, jenazah Baginda akan dibawa ke Istana Balai Besar di sini untuk istiadat penghormatan terakhir dan istiadat pemakaman akan dilangsungkan selepas solat Asar di Makam Diraja Langgar di sini.
Beliau berkata, sehubungan itu Kerajaan Kelantan mengisytiharkan tempoh berkabung bermula hari ini dan cuti selama dua hari bermula esok bagi menghormati kemangkatan Sultan Ismail Petra pagi tadi.
Menurutnya, cuti diberikan pada hari Ahad dan Isnin ini iaitu selama dua dan perkabungan juga akan bermula pada hari ini.
"Almarhum Sultan dijangka dikebumikan hari ini selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Diraja Langgar," katanya kepada pemberita di sini.
Sultan Ismail Petra mangkat jam 8.11 pagi tadi di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini pagi tadi.
Sultan Ismail Petra memerintah Kelantan dari 30 Mac 1980 sehingga Mei 2009.
Baginda kemudiannya digantikan putera sulungnya, Sultan Muhammad V sebagai Sultan Kelantan, akibat gering.
Menurut laman Facebook Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan Al-Muhammadi, jenazah Al-Marhum Sultan Ismail Petra akan dibawa ke Istana Balai Besar untuk Istiadat Penghormatan terakhir dan dijangka Istiadat Pemakaman akan dilangsungkan selepas solat asar di Makam Diraja Langgar Kota Bharu.
Dalam entri Facebook tersebut turut disertakan etika berpakaian untuk penghormatan terakhir tersebut.
"Etika berpakaian untuk kerabat Diraja adalah berbaju Melayu putih, bersampin putih, songkok hitam beralas kain putih di atas dan baju kurung putih bagi perempuan.
"Manakala etika berpakaian untuk orang awam ialah berbaju Melayu putih, bersampin putih, bersongkok hitam beralas kain putih dan baju kurung putih bagi perempuan," tulisnya.