KOTA BHARU - Rakyat Kelantan akan berkabung selama 40 hari bermula hari ini bagi menghormati kemangkatan ayahanda Sultan Muhammad V, Sultan Ismail Petra pagi tadi.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nazran Muhammad berkata, semua pegawai negeri dan rakyat berkabung selama 40 hari dengan memakai kain putih di kemuncak songkok atau tali leher hitam.
"Kerabat-kerabat Diraja, pegawai-pegawai dan kakitangan istana hendaklah memakai pakaian berkabung selama 100 hari bermula hari kemangkatan.
"Semua masjid dan surau dalam negeri juga hendaklah mengadakan tahlil dan doa seusai Maghrib selama tujuh hari selepas dimakamkan jenazah ayahanda baginda," katanya pada satu sidang akhbar khas di Kompleks Kota Darul Naim di sini.
Menurutnya, segala bentuk hiburan hendaklah dihentikan selama tiga hari manakala permainan pentas secara sambilan, pertunjukan untuk derma dan permainan sukan tidak diadakan sehingga selesai 40 hari selepas hari kemangkatan.
Beliau berkata, bendera juga hendaklah dikibarkan setengah tiang selepas waktu kemangkatan.
"Bendera negeri dan lain-lain bendera hendaklah dikibarkan setengah tiang selama 40 hari dari tarikh kemangkatan.
"Pejabat kerajaan, gedung-gedung perniagaan, sekolah, pertubuhan yang seumpamanya hendaklah ditutup selama tiga hari bermula tarikh kemangkatan sehinggalah Isnin ini.
"Bendera juga perlu dikibarkan separuh tiang di tempat-tempat tersebut," katanya.
Untuk peraturan berkabung, Nazran memberitahu, untuk orang Melayu, mereka perlulah memakai tanda perkabungan kain putih di kemuncak songkok dan bagi lain-lain agama dan bangsa, perlu memakai selilit kain hitam lebar tiga inci di lengan kiri dan bertali leher warna hitam.
"Bagi mereka yang berhak memakai pakaian seragam dan pada majlis tertentu, selilit kain hitam lebar tiga inci di lengan kiri.
"Untuk orang perempuan Melayu, hendaklah memakai tudung kepala berwarna putih dan untuk bangsa lain, perlu selilit kain hitam lebar tiga inci di lengan kiri," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Agong, Permaisuri zahir takziah kepada Sultan Kelantan