PUTRAJAYA - Konvensyen Murabbi Ummah sempena Karnival Rahmah Peringkat Kebangsaan 2019 (@KR19) diadakan bertujuan untuk mengumpulkan pendakwah, imam, hufaz dan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) bagi memberikan pendedahan tentang beberapa isu serta dasar semasa kerajaan khususnya dalam konteks rahmah yang diperkenalkan.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, ia bersesuaian dengan pendekatan kerajaan pada hari ini bahawa Islam perlu difahami dengan konteks sebenarnya iaitu bersifat rahmah menyantuni dan mesra kepada semua tanpa mengira agama.
"Soal seseorang itu sudah bergelar orang Islam atau belum ia soal hidayah. Jadi kita perlu menyampaikan mesej rahmah dengan apa yang ada dalam agama seperti yang dititipkan oleh Baginda Rasulullah SAW dalam konteks akidah dan syariah yang diterjemahkan dalam akhlak yang baik," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Konvensyen Murabbi sempena Karnival Rahmah Peringkat Kebangsaan 2019 (@KR19) di sini hari ini.
Mengulas mengenai program tersebut, Mohamad Nordin berkata, ia merupakan siri program Konvensyen Ummah yang dijalankan oleh Jakim dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di peringkat negeri serta kebangsaan.
"Kali ini melibatkan peringkat Wilayah Persekutuan dan wakil daripada beberapa negeri yang mana peserta terdiri daripada murabbi iaitu pendakwah, imam, hufaz dan guru KAFA terlibat secara langsung di peringkat akar umbi," katanya.
Beliau berkata, jumlah murabbi ummah seluruh negara hampir 50,000 orang terdiri daripada imam yang turut dilantik oleh negeri seramai 14,000 orang, guru KAFA 32,000 dan ramai lagi.
"Jumlah 50,000 orang itu turut melibatkan penceramah yang mendapat tauliah di peringkat negeri. Sebahagian besar mendapat elaun daripada kerajaan Pusat menerusi beberapa program dan kerajaan negeri," katanya.
Ditanya mengenai adakah lantikan imam dan bilal di masjid berdasarkan had usia, Mohamad Nordin berkata, lantikan bagi jawatan berdasarkan kepada bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri.
"Jika di Wilayah Persekutuan dan saya selaku Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mereka ini dilantik berdasarkan kepada kelayakan masing-masing. Mereka ada ujian yang perlu dilalui.
"Imam kita di Wilayah Persekutuan adalah penghafaz al-Quran. Ini kerana kita mahu menjaga kualiti masjid kita. Ini termasuk juga Masjid Putra, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Negara yang sebahagian besar imam adalah al-Hafiz," katanya.
Diminta mengulas tentang murabbi pada hari ini yang cepat untuk menghukum dan melabel seseorang kerana berlainan pendapat, beliau berkata, setakat ini murabbi dan mempunyai tauliah sentiasa dekat dengan kerajaan untuk menyampaikan mesej jelas tentang rahmah dalam agama Islam.
"Jika ada, isu itu mungkin perkara terpencil dan setakat ini memang tidak berlaku. Kalau berlaku, kita akan beri nasihat.
"Mereka ini tidak perlu pemantauan khusus kerana tahu tugas dan kita mempunyai garis panduan yang ditetapkan. Berdasarkan tauliah yang mereka perlu hadir saya tidak fikir mereka boleh terbabas daripada apa yang digariskan oleh kerajaan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Karnival Rahmah 2019 bawa mesej kasih sayang, harmoni
Hayati mesej Islam menerusi Karnival Rahmah 2019