KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menzahirkan ucapan takziah kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V atas kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Ismail Petra hari ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mendoakan semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
"PDRM akan menyalurkan segala bantuan yang perlu bagi memastikan urusan istiadat kemangkatan berjalan dengan lancar dan sempurna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sultan Ismail Petra, 69, Sultan Kelantan ke-28, mangkat di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pukul 8.11 pagi tadi.
Pengumuman kemangkatan baginda dibuat oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob di Kota Darul Naim, Kota Bharu.
Sultan Ismail Petra memerintah Kelantan dari 30 Mac 1980 sehingga Mei 2009.
Baginda kemudiannya digantikan putera sulungnya, Sultan Muhammad V sebagai Sultan Kelantan akibat gering.
Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof turut menzahirkan sembah takziah kepada Sultan Kelantan dan seluruh kerabat Diraja Kelantan atas kemangkatan Almarhum Sultan Ismail Petra.
Katanya seluruh warga Parlimen amat berdukacita dan sedih dengan kemangkatan baginda.
"Sesungguhnya segala jasa dan bakti Almarhum baginda Sultan Ismail Petra akan sentiasa kami kenang,” katanya dalam kenyataan. - Bernama