SELURUH rakyat negeri Kelantan bersugul dengan berita kemangkatan Sultan Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra.
Baginda mangkat pada jam 8.11 pagi di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Sultan Ismail ialah Sultan Kelantan ke-28 yang sangat dekat di hati rakyat ketika memerintah negeri ini bermula 30 Mac 1980 sehingga September 2010.
Putera sulung baginda, Tengku Muhammad Faris Petra yang kini bergelar Sultan Muhammad V mengambil alih tampuk pemerintahan selepas baginda disahkan gering.
Sepanjang memerintah, baginda banyak mendekatkan diri dengan rakyat berbilang bangsa dan kaum di negeri ini untuk hidup dalam keadaan bersatu padu.
Sultan Ismail diputerakan pada Jumaat, 11 November 1949 bersamaan 19 Muharam 1369 Hijrah di Istana Jahar, Kota Bharu di sini.
Baginda ialah putera tunggal dan anak bongsu kepada Almarhum Sultan Yahya Petra dan Almarhumah Raja Perempuan Zainab II.
Pada 11 November 1967 baginda dikurniakan gelaran Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan iaitu ketika berusia 18 tahun.
Selepas 31 tahun iaitu tanggal 30 Mac 1980 baginda dimahkotakan sebagai Sultan Kelantan di Istana Balai Besar, Kota Bharu bagi menggantikan ayahanda baginda Almarhum Sultan Yahya Petra Almarhum Sultan Ibrahim.
Baginda mengalami strok sejak 14 Mei 2009 dan berikutan itu baginda diberi rawatan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
Kerajaan Kelantan kemudiannya melantik 10 pakar perubatan sebagai panel perubatan bagi memeriksa tahap kesihatan baginda.
Apabila gering baginda berterusan, panel pakar telah memutuskan baginda tidak mampu menjalankan tugas untuk memerintah negeri.
Putera sulung baginda, Sultan Muhammad V kemudian ditabalkan untuk mengambil alih memerintah negeri.
Membesar bersama empat orang kekanda iaitu Tengku Merjan, Tengku Rozan, Tengku Salwani dan Tengku Rohani, baginda mendapat pendidikan menengah di Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu sebelum belajar dengan guru khas Bahasa Inggeris.
Pada 8 Januari 2002, baginda dianugerahkan Ijazah Dr Falsafah Kehormat dalam bidang Sains Politik dari Universiti Ramkhamhaeng, Thailand.
Pada 4 Disember 1968 Sultan Ismail Petra berkahwin dengan Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid di Istana Kota Lama, Kota Bharu.
Istiadat persandingan Diraja pada 12 Mac 1969 berlangsung di Istana Balai Besar mengikut adat istiadat raja-raja Kelantan yang turun temurun.
Melalui perkahwinan dengan Tengku Anis, baginda dianugerahkan empat cahaya mata iaitu Sultan Muhammad V, Tengku Muhammad Fa-iz Petra (kini Tengku Mahkota Kelantan), Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Tengku Amalin A’ishah Putri.
Sepanjang tempoh pemerintahan baginda, sebuah masjid dibina atas nama baginda iaitu Masjid al-Sultan Ismail Petra di Jalan Sultan Yahya Petra, Kubang Kerian.
Baginda juga mewujudkan Kolej Jamiah Islamiah Al-Islamiah Sultan Ismail Petra (Jaipetra) dan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra di Nilam Puri.
Bukan itu sahaja, sebuah sekolah menengah turut dibangunkan atas nama baginda iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Ismail Petra di Kompleks Sekolah-Sekolah Wakaf Mek Zainab di sini.
Dua buah sekolah kebangsaan juga dinamakan mengikut nama baginda iaitu Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail (1) dan Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail (2).