KUALA LUMPUR - Kertas Bahasa Melayu (BM) Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang dijadualkan Isnin ini ditangguhkan ke 9 Oktober, menurut Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan.
Sementara kertas BM Komunikasi dan English for Communication Pendidikan Asas Vokasional (PAV) pula ditangguhkan ke Khamis ini.
Menurut kenyataan itu, penangguhan dilakukan selepas Kerajaan Negeri Kelantan mengisytiharkan Ahad dan Isnin sebagai cuti peristiwa.
ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Ismail Petra mangkat
Sultan Ismail Petra mangkat: Kelantan umum cuti dua hari
Kementerian Pendidikan dalam kenyataan sama turut merafak sembah takziah kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhamad V, kerabat dan seluruh rakyat di negeri itu atas kemangkatan Sultan Ismail Petra.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengisytiharkan cuti peristiwa selama dua hari bermula esok dan lusa bagi menghormati perkabungan.
Sultan Ismail Petra mangkat pada jam 8.11 pagi tadi di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II.