KIEV - Seorang lelaki berusia 24 tahun di Ukraine didakwa mengahwini wanita warga emas yang juga sepupunya berusia 81 tahun untuk melepaskan diri daripada menyertai perkhidmatan tentera.
Alexander Kondratyuk dituduh berkahwin dengan Zinaida Illarionovna, seorang orang kurang upaya (OKU) supaya dia dapat memanfaatkan peraturan pengecualian.
Perkhidmatan ketenteraan di negara itu adalah wajib bagi lelaki berusia antara 18 hingga 26 tahun yang berupaya dari segi fizikal.
Bagaimanapun seseorang lelaki itu akan dikecualikan jika dia mempunyai tanggungjawab untuk menjaga isteri yang kurang upaya.
Difahamkan pasangan terbabit berkahwin di Kampung Baykovka berhampiran bandar Vinnitsa.
Kondratyuk menafikan perkahwinan kerana ingin dikecualikan daripada perkhidmatan tentera dan menegaskan hubungan itu dibina atas dasar kasih sayang.
Illarionovna turut mengukuhkan kenyataan Kondratyuk dengan menggambarkan lelaki itu sebagai seorang suami yang baik dan menjaganya dengan baik.
Namun jiran mendakwa Kondratyuk tidak pernah dilihat di kawasan tersebut dan isterinya hanya dikunjungi oleh cucu, anak saudara dan adik-beradik.
Illarionovna juga didakwa tinggal seorang diri dan satu-satunya bukti perkahwinan mereka adalah sijil yang sering digunakan Kondratyuk setiap kali pasukan tentera datang untuk merekrut anggota baharu.
Seorang pakar undang-undang berpendapat anggota tentera boleh menjadikan jiran sebagai saksi jika terdapat keraguan sama ada dia tinggal di rumah itu atau tidak. - Agensi