Ada apa dengan Greta dan 'how dare you!'

Iklan
Greta Thunberg

JIKA anda berasa hairan mengapa tiba-tiba isu alam sekitar penuh menghiasi ruang berita antarabangsa, ketahuilah bahawa persidangan antarabangsa berkenaan isu alam sekitar (perubahan iklim) bernama UN Climate Action Summit telah berlangsung di New York pada 23 September lalu.

Yang mencuri tumpuan persidangan kali ini ialah adik bernama Greta Thunberg, remaja berumur 16 tahun berasal dari Sweden.

Iklan
Iklan

Beliau menjadi ikon aktivis alam sekitar (environmentalist) sedunia selepas beliau bertindak berponteng sekolah tahun lalu sebagai mogok terhadap kerajaan Sweden yang dikatakan tak ambil berat isu perubahan iklim.

Jadi, ramai pelajar sekolah di merata dunia turut mengikuti tindakan Greta mengadakan himpunan 'Climate Strike' pada Jumaat lepas untuk menyampaikan suara environmentalist.

Iklan

Perkara ini bagus sebenarnya. Daripada main Tik Tok, lebih baik remaja mengambil berat pasal dunia, pasal isu global, pasal isu sejagat.

Lihat sahaja Greta yang petah berucap di pentas dunia mengutuk pemimpin-pemimpin negara atas kegagalan respons terhadap perubahan iklim.

Iklan

"How dare you""how dare you". Confirmlah tahun ni Hadiah Keamanan Nobel (Nobel Peace Prize) adik ini punya.

Cuma Greta ni agak radikal. Bukan saja beliau komited terhadap isu alam sekitar secara peribadi malah beliau turut mencabar ibu dan ayahnya untuk hidup secara 'bebas karbon'.

Antaranya, beliau meminta ibu dan ayahnya menjadi vegan, sebab aktiviti penternakan (sumber daging) akan menyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau.

Ibu Greta adalah seorang penyanyi opera terkenal di Eropah, terpaksa bersara kerana tidak boleh membuat konsert di luar. Ini kerana kapal terbang akan menambah lagi gas rumah hijau.

Disebabkan Greta ada Sindrom Asperger, jadi ibu dan ayahnya memberikan perhatian lebih dan menyokong perjuangannya.

Disebabkan Greta enggan menaiki kapal terbang, jadi beliau menaiki kapal layar bebas karbon bernama Malizia II dan belayar selama 15 hari untuk sampai ke New York.

Cuma, pemilihan untuk menjadi pejuang alam sekitar satu hal, menyedarkan dunia satu hal, melaksana lagi satu hal.

Ucapan Greta penuh dengan semangat dan emosi, tapi tak beri apa-apa solusi kepada isu pokok yang sedang dialami.

Beliau berkata"People are suffering. People are dying. We are in the beginning of mass extinction, and all you can talk about is money and eternal economic growth".

Selepas habis ucapan, Greta bersama beberapa lagi aktivis remaja menfailkan petisyen terhadap Jerman, Perancis, Brazil, Argentina, dan Turki atas 'pencabulan hak asasi' mereka kerana gagal mengawal pelepasan karbon.

Orang yang berasal dari negara maju dan bebas daripada keperluan asas, memanglah senang hendak cakap begitu.

Yang menjadi isu pokok pada hari ini bukan sebab orang tak sedar tentang perubahan iklim (kecuali puak-puak climate change denier), tapi lebih kepada soal pembahagian tanggungjawab.

Negara yang bertumpu pada sektor pertanian dan perindustrian lebih banyak melepaskan gas rumah hijau.

Negara-negara ni kebanyakan negara sedang membangun. Sementara itu yang mendesak agenda alam sekitar ni aktivis dari negara-negara maju (terutamanya Eropah).

Negara-negara ini sudah melepasi fasa pembangunan pertanian dan perindustrian yang banyak keluar asap, beralih ke sektor perkhidmatan yang tidak keluar asap.

Jadi sukar sebenarnya untuk mereka memahami dilema antara ekonomi dan alam yang dialami oleh negara sedang membangun.

Macam sekarang negara Eropah sedang memberi Malaysia dan Indonesia tekanan berkaitan pasal kelapa sawit, kononnya ia banyak memberi kerosakan kepada alam.

Memanglah Eropah boleh membangun tanpa 'kerosakan alam sekitar' kerana mereka dulu tanam getah, gali berlian semua pun dilakukan atas bumi negara jajahan macam kita.

Bila kita cuba bangun atas kaki sendiri, kita dikecam merosakkan alam sekitar.

'Green lifestyle', 'green technology' green tu green ni semua memerlukan kos. Greta marah orang naik kapal terbang, tapi berapa orang mampu memiliki kapal layar bebas karbon yang bernilai berjuta-juta?

Sebab tu, apabila saya mendengar ucapan Greta ni, rasa rasa 'semangat' semacam. Greta ni macam bayangan kepada negara-negara maju: 'privileged' dan 'self-righteous'.

Ini hanya perspektif alternatif saya sahaja. Jangan tuduh saya 'climate change denier' atau anti-environmentalism pulak.

Saya sokong environmentalism, cuma dalam memperjuangkan ia kita pun harus berhati-hati, tak boleh terima bulat-bulat naratif yang popular dalam media antarabangsa.

AYMAN RASHDAN WONG

***Penulis merupakan penulis buku Dunia Tanpa Tembok dan Dunia Tanpa Tembok II, graduan dalam bidang Hubungan Antarabangsa Dan Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya