Pakatan tangguh Mesyuarat Agung Tahunan sebagai tanda penghormatan

Iklan
Suasana hiba dalam kalangan pemimpin dan ahli PAKATAN kerana kemangkatan Sultan Ismail Petra GAMBAR KECIL: Dr Noordin Abd Razak
SHAH ALAM - Persatuan Anak-Anak Kelantan Darulnaim Malaysia (Pakatan) menangguhkan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-27 yang dijadualkan berlangsung hari ini sebagai penghormatan ke atas kemangkatan Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra.

Setiausaha Agungnya, Azlan Abdullah berkata, suasana majlis di Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA), Bukit Kiara, Kuala Lumpur itu sepatutnya meriah dan diselangi persembahan kebudayaan berubah secara drastik apabila barisan kepimpinan dan ahli hadir dengan perasaan duka.

"Kemangkatan Almarhum Sultan Ismail Petra amat dirasai kerana hubungan erat yang telah terjalin sekian lama kerana baginda banyak berjasa membantu dan menyokong sejak awal penubuhan persatuan ini.

"Pengasas dan Presiden Pakatan, Datuk Dr Noordin Abd Razak memutuskan untuk tidak meneruskan mesyuarat agung walaupun kehadiran korum sangat ramai.

"Majlis diteruskan dengan tahlil penuh hiba yang dipimpin oleh Ustaz Mohamed Yusri Maimun. Fenomena yang berlaku pada hari ini jelas menunjukkan betapa eratnya Almarhum baginda sultan di hati rakyat," katanya.