PRK Tanjung Piai: Tian Chua akui persaingan sengit

Iklan
Tian Chua (tengah) hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Pontian di Pusat Perdagangan Pontian di sini petang semalam.

PONTIAN - Gerak kerja jentera yang bersatu dan tidak bersendiri akan menjadi kunci kejayaan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai kelak.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua yang turut mengakui PH akan berdepan persaingan sengit pada PRK Tanjung Piai bagaimanapun menyifatkan peluang parti kerajaan dan pembangkang adalah seimbang untuk memenangi kerusi berkenaan.

Iklan
Iklan

Namun menurutnya, beliau mengingatkan parti lawan bukan sembarangan dan perlu kerjasama antara semua parti komponen PH dalam percaturan gerak kerja PRK Tanjung Piai.

"Kita akan berdepan dengan lawan yang kuat, semua jentera pilihan raya perlu bersedia dan meningkatkan peranan masing-masing supaya kerusi Tanjung Piai kekal di tangan PH.

Iklan

"PH mampu mempertahankan kerusi tersebut dengan syarat jentera kempen PH dapat bergerak secara berpasukan dan dapat menangkis serangan daripada pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Pontian di Pusat Perdagangan Pontian di sini petang semalam.

Iklan

Hadir sama Ketua Cabang Keadilan Pontian, Ronald Sia dan Setiausaha Cabang PKR Pontian, Datuk Tan Chin Hock.

Tian Chua berkata, PKR menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk memilih calon yang sesuai bagi mewakili PH.

"Pengundi pastinya membuat pilihan yang bijak memilih untuk calon mereka yang dapat mewakili suara mereka di Dewan Rakyat seperti mana dilakukan oleh Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik sebelum ini," katanya.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan penyandangnya, Dr Md Farid yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, meninggal dunia di Hospital Pontian pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.