Bekas Ketua Wiranita Putra Jerai dakwa dicabul

Iklan
Dari kanan: Halimatun, Ahmad, Norizan dan Rahim ketika sidang media di Park Avenue malam tadi.

SUNGAI PETANI - Seorang bekas pemimpin wanita Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendakwa dicabul bekas Exco yang juga merupakan pemimpin parti berkenaan.

Halimatun Abu Bakar, 42, berkata, kejadian itu berlaku pada 9 Ogos lalu selepas dia menerima panggilan telefon daripada individu terbabit yang mengatakan akan datang ke rumahnya bersama bekas Ketua Penyelaras Putra Bahagian Jerai, Ahmad Abas untuk mengambilnya sebelum berjumpa ahli parti di Batu 16 Jalan Alor Setar-Sungai Petani.

Iklan
Iklan

Menurutnya yang juga bekas Ketua Wiranita Putra Jerai, sebaik masuk ke dalam kereta, individu terbabit menukar rancangan untuk membawanya keluar makan.

"Ketika itu, hanya ada kami berdua dalam kereta kerana Ahmad tidak datang. Saya cuba hubungi Ahmad namun dihalang sebelum beliau membawa saya makan sehingga ke Tanjung Dawai.

Iklan

"Pada mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa kerana menghormati beliau yang juga dikenali ramai atas perkhidmatannya sebagai bekas Exco," katanya pada sidang media di Park Avenue di sini malam tadi.

Hadir sama, Ahmad; bekas Ketua Penyelaras Putra Kulim Bandar Baharu, Datuk Noridan Spee Yee dan bekas Naib Ketua Penyelaras Putra Kulim Bandar Baharu, Rahim Said.

Iklan

Halimatun mendakwa, semasa dalam perjalanan pulang, individu terbabit memegang tangan dan anggota badannya yang lain.

"Saya segera memintanya menghantar saya pulang ke rumah. Beberapa hari selepas kejadian, saya bersama Ahmad, Noridan dan Rahim bertemu beliau dan dia meminta maaf atas perbuatan yang dilakukan.

"Bagaimanapun setelah Noridan membawa perkara ini ke pengetahuan pihak atasan, beliau menafikan apa yang dilakukan selain mengatakan kami hanya mereka-reka cerita," katanya.

Disebabkan tidak berpuas hati, Halimatun mengambil keputusan untuk membuat laporan polis pada 27 September lalu.

"Individu itu pernah hubungi Ahmad dan tawarkan RM1,500 kepada saya untuk tutup kes ini namun kami tetap berkeras agar beliau dikenakan tindakan sewajarnya," katanya.

Dalam pada itu, Noridan berkata, keengganan pihak atasan mengendalikan kes terbabit menyebabkan kesemua pemimpin Putra Kulim Bandar Baharu dan Jerai meletak jawatan.

"Kesemua ahli di kedua-dua bahagian juga keluar parti menyebabkan dua bahagian itu dibubarkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan siasatan sedang dijalankan.

Menurutnya, polis sudah merakam percakapan beberapa orang saksi dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Halimatun (tengah) bersama ahli Putra yang keluar parti akibat tidak berpuas hati dengan layanan pihak atasan.