SHAH ALAM - Tindakan pihak tidak bertanggungjawab membuang sisa tidak dibenarkan ke dalam sistem pembetungan dikenal pasti menjadi punca pencemaran bau yang menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa ditutup selama kira-kira 10 jam bermula jam 5 petang semalam.
Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesan lokasi pembuangan sisa itu dan menjalankan siasatan ke atas sistem ‘manhole’ (lurang) jaringan pembetung awam di Bandar Bukit Mahkota, Bangi di sini.
"Hasil siasatan mendapati satu lurang berbau pelarut di sekitar kawasan perumahan Bandar Bukit Mahkota berkemungkinan menjadi lokasi utama kemasukan pelarut sebelum ke loji kumbahan milik Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK)," katanya.
Loy Sian berkata, sisa pembuangan itu tidak dapat dirawat loji kumbahan hingga menyebabkan bau pelarut kuat dari pelepasan efluen loji IWK yang mengalir ke Sungai Beranang sebelum ke Sungai Semenyih," katanya.
Beliau berkata, pihaknya membuat pendosan karbon diaktifkan sebanyak 575kg bagi mengatasi masalah pencemaran bau pada sekitar jam 3 pagi tadi di loji berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: LRA Sungai Semenyih dijangka beroperasi semula mulai 11 pagi
"Hujan lebat pada malam semalam dan awal pagi tadi telah meningkatkan kadar pencairan sungai dan menyebabkan penurunan bau di Sungai Semenyih.
"Berikutan itu LRA Sungai Semenyih telah mula beroperasi sepenuhnya pada 4.30 pagi tadi. Kita berjaya menurunkan kadar bau kepada satu ton di pelepasan efluen loji," katanya.
Menurutnya, LUAS bersama pihak terlibat sedang berusaha mengenal pasti pihak yang melakukan pencemaran berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya untuk menangani isu itu.
"Pihak terbabit yang melakukan pencemaran ini boleh dikenakan hukuman berdasarkan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 oleh JAS atau Seksyen 79 Enakmen LUAS 1999 tertakluk kepada hasil analisa pensampelan daripada Jabatan Kimia Malaysia," katanya.
Semalam, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dalam kenyataan berkata LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya akibat pencemaran bau dengan bacaan lima ton di sumber air mentah Sungai Semenyih.
Gangguan tidak berjadual itu menyebabkan sebanyak 204 kawasan melibatkan 372,031 akaun pelanggan berdaftar di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terjejas.
ARTIKEL BERKAITAN: Pencemaran bau Loji Semenyih: 372,031 akaun terjejas