SHAH ALAM - Jawatankuasa Khas Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang ditubuhkan pada Oktober tahun lalu akan membentangkan ringkasan hasil penemuan bagi fasa pertama mereka kepada Kementerian Pendidikan hari ini.
Pengerusinya, Eddin Khoo berkata, fasa kedua iaitu laporan penuh akan diserahkan kemudian selepas pihaknya memuatkan transkrip penuh temu bual bersama pemegang taruh.
"Kita ada dua fasa dan bagi fasa pertama yang akan diserahkan esok (hari ini) di mana ia mengandungi ringkasan penemuan dan cadangan. Jawatankuasa ini ditubuhkan pada Oktober tahun lalu dan kita memulakan temu bual pada Januari 2019.
"Kita jalankan tugas dengan baik bagi mendapatkan pandangan daripada semua pihak yang terlibat secara komprehensif. Pihak kami telah menemubual 72 individu, kumpulan dan parti politik. Setiap satu pandangan dipertimbangkan dan dimasukkan dalam laporan bertulis," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Ditanya mengenai keputusan kerajaan Sabah untuk mengiktiraf UEC sebagai syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan perkhidmatan awam negeri, Eddin berkata, pihaknya tidak terikat dengan keputusan negeri itu.
"Jawatankuasa ini tidak terikat dengan keputusan kerajaan negeri. Kita ada tugas kami menerokai sendiri secara mendalam dan ilmiah.
"Saya harap cadangan yang terkandung dalam laporan ini dapat memberikan pencerahan kepada mereka yang iktiraf (UEC)," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan masih tunggu laporan jawatankuasa kajian