KUCHING - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berharap peruntukan dalam Belanjawan 2020 kepada jabatan itu akan memberi keutamaan kepada usaha bagi melengkapkan aset serta peralatan di lebih 30 balai bomba yang akan siap dibina tahun depan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, selain aset seperti jentera, pembinaan balai-balai baharu itu pastinya memerlukan penambahan anggota.
Iklan
Iklan
"Jadi kita berharap kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya bagi memastikan keperluan ini dapat dipenuhi dan ditimbangkan sebaik mungkin kerana kita melihat kepada keperluan yang mendesak dari segi kecemasan yang semakin meningkat dari sehari ke sehari,” katanya pada Majlis Pra-Pelancaran Kuching Fire Fighter’s Run di sini hari ini.
Menurutnya, kesemua kelengkapan terbabit perlu bagi membolehkan operasi jabatan berkenaan berjalan lancar.
Belanjawan 2020 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 11 Oktober ini.
Sementara itu, katanya, Kuching Fire Fighter’s Run yang terbuka kepada orang ramai bertujuan merapatkan hubungan orang awam dan jabatan berkenaan.
"Larian anjuran JBPM Sarawak pada 15 Mac tahun hadapan ini diadakan di Majlis Bandaraya Kuching Selatan. - Bernama