Raih pahala, latih bola tanpa bayaran

Iklan
Md Akhir tekun melatih kanak-kanak agar cekap dalam permainan. - Foto MD Akhir

KANGAR - Dalam tempoh 10 tahun selepas bersara, Md Akhir Bakar, 66, sudah melatih ribuan kanak-kanak berusia antara 5 hingga 12 tahun, bermain bola sepak.

Tanpa mengenakan sebarang bayaran, bekas pemain pasukan Perlis dari 1971 hingga 1979 itu berhasrat melihat kesinambungan dalam sukan dicintainya itu.

Iklan
Iklan

Kata Md Akhir, bola sepak adalah hidupnya dan ilmu serta kemahiran yang ada padanya akan dicurahkan kepada kanak-kanak yang menjadi anak didiknya itu.

"Bila pencen, kita duk kat rumah pun tiada aktiviti. Kemudian terfikir yang saya ni bekas pemain, jadi ada ilmu sikit-sikit, pastu saya fikir lebih baik petang-petang saya ajar budak," katanya.

Iklan

Melalui jalan Kompleks Tuanku Syed Putra di Kangar pada sebelah petang, pasti ternampak kelibat Md Akhir dan isterinya, Che Ma Man, 63, sedang melatih kanak-kanak bermain bola.

Rutin mereka adalah melatih lebih 30 kanak-kanak secara berjadual dari seluruh negeri itu termasuk Kedah yang dihantar oleh keluarga untuk belajar bermain bola di situ.

Iklan

Kata Md Akhir, bola sepak adalah hidupnya dan ilmu serta kemahiran yang ada padanya akan dicurahkan kepada kanak-kanak yang menjadi anak didiknya itu.

"Selain mengajar teknik-teknik asas serta kemahiran dalam sukan berkenaan, saya juga mendidik mereka menjadi seorang pemain yang serba boleh," katanya.

Katanya, segala kelengkapan untuk melatih kanak-kanak tersebut dibeli sendiri olehnya dan ada ketikanya dibantu ibu bapa yang menghantar anak mereka ke situ.

"Kat sini, kalau mai hantar macam hantar tuisyen la, saya akan ajar skil, untuk nak 'passing', ada skill tolak, tarik, semua boleh la," katanya.

Menurut Md Akhir, ada yang pernah mendapat didikannya telah berjaya dan terkenal di dalam sukan berkenaan.

Antaranya, Nor Faezah yang berada dalam 20 senarai pemain futsal wanita negara dan Nik Khairul Anuar Iskandar yang muncul juara Pertandingan Persembahan Seni Dunia 2016.

Md Akhir memantau prestasi kanak-kanak yang dilatihnya. - Foto MD Akhir