Belum ada kata putus

Iklan
Laporan Sinar Harian semalam.

PIHAK pengurusan tertinggi PKNS FC akan membuat perbincangan terlebih dahulu sebelum memberi sebarang kata putus berhubung penggabungan skuad The Red Ants dan Selangor bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pengurus pasukan PKNS FC, Mahfizul Rusydin Ab Rashid berkata, sebagaimana yang sedia maklum proses penggabungan itu akan mengambil masa dengan melalui beberapa proses selain tertakluk kepada kelulusan daripada pengendali Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkara itu akan diputuskan oleh pihak atasan dalam masa terdekat dan sebarang keputusan akan dimaklumkan dari masa ke masa kepada semua pihak.

"Bagaimanapun buat masa ini kita sedang memberi tumpuan kepada saingan final kedua Piala Presiden melibatkan pertemuan antara PKNS FC dan Perak esok (malam ini) di Stadium Perak dan kita tidak mahu perkara ini mengganggu tumpuan pemain.

Iklan

"Kami tahu bola sepak adalah sukan yang amat popular di negara ini dan kami sebagai badan korporat boleh membantu perkembangan bakat bola sepak negeri dan negara sekiranya terus berperanan dalam ekosistem bola sepak negara," katanya ketika dihubungi Sukan Sinar semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang sebulat suara menerima penggabungan PKNS FC sebagai 'feeder club' pasukan Selangor dalam kempen Liga M musim depan pada mesyuarat Kongres Luar Biasa FAS yang berlangsung di Shah Alam, kelmarin.

Iklan

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon bagaimanapun berkata, masih ada lagi beberapa proses yang perlu dilakukan oleh kedua-dua belah pihak sebelum penggabungan itu dapat dilaksanakan.