SHAH ALAM - Dua badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Tawar di Jerantut mengambil inisiatif menyediakan gerobok rezeki bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan.
Presiden iGunner Malaysia Football Community (iGunner), Roses Silawati Mohd Ali berkata, iGunner bersama Humanity mengambil inisiatif berkenaan dalam usaha membantu pihak sekolah menangani masalah yang dihadapi oleh pelajar asnaf, yatim piatu dan miskin bandar.
"Dengan adanya gerobok rezeki ini dapat membantu perkara-perkara sebegini tidak berulang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu, wakil Humanity, Mohammad Nizam Wahid berkata, gerobok rezeki ini juga dapat membantu ibu bapa kepada pelajar untuk mendapatkan bantuan makanan asas.
"Ada ketikanya kes-kes ibu bapa datang ke sekolah untuk meminta bantuan barangan dapur. Atas kesempitan hidup mereka terpaksa menagih ihsan pihak sekolah.
Jadi betapa besarnya peranan gerobok rezeki ini, menyumbang kepada barang keperluan asas seperti beras,susu,minuman coklat, kicap, bihun dan sebagainya,” katanya.
Orang ramai yang ingin turut sama menyertai atau ingin mengetahui lebih lanjut program gerobok rezeki itu boleh menghubungi Roses Silawati di talian 016-9600219 atau terus berurusan dengan pihak sekolah.