SHAH ALAM - Pembangunan sosioekonomi bumiputera perlu dipertingkatkan dan dimasukkan dalam agenda Wawasan Kemakmuran Bersama bagi memastikan perpaduan nasional rakyat di negara ini dapat diperkukuhkan.
Penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, kemakmuran negara perlu dikongsi bersama khususnya dari sudut ekonomi bumiputera yang masih ketinggalan dalam konteks isu rumah berbanding kaum lain seperti Cina dan India.
"Ketidaksamaan sosial dan ekonomi ini perlu diperbetulkan agar jurang antara rakyat tidak semakin melebar luas.
"Kita semua tahu apabila jurang sosioekonomi antara kaum itu jauh, ia akan menimbulkan pelbagai perkara negatif termasuk keretakan dalam soal perpaduan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Katanya, perkongsian kemakmuran itu membawa makna jurang pendapatan etnik dan penguasaan ekonomi bumiputera berada dalam keadaan lebih baik bersesuaian dengan kedudukan mereka sebagai kaum majoriti di negara ini.
"Ia bukan langkah menjarakkan diri daripada permasalahan sebenar iaitu isu prestasi ekonomi etnik, sebaliknya roh dasar afirmatif perlu ada bagi menangani isu ini.
"Terdapat langkah bagi memastikan perkongsian kemakmuran ini tercapai. Antaranya ialah roh dasar afirmatif perlu diterapkan dalam dasar ekonomi nasional,” katanya.
Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, kerajaan juga perlu berusaha meningkatkan gaji minimum selaras dengan kos sara hidup yang semakin meningkat khususnya bagi golongan B40.
"Subsidi bersasar khususnya bagi golongan B40 perlu dilaksanakan segera. Selain itu, latihan bagi meningkatkan kepakaran kepada golongan ini perlu dilaksanakan agar mereka mampu keluar daripada kemiskinan.
"Pembangunan modal insan ini penting kerana perubahan teknologi dan industri sentiasa berlaku. Semua pihak perlu dilengkapkan dengan kemahiran terkini untuk mendepani cabaran pada masa akan datang,” katanya.