Najib akui 2019 tahun mencabar buat dirinya

Iklan
Catatan Najib di Facebook sempena tahun baharu.
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjangkakan 2019 bakal menjadi tahun yang mencabar baginya secara peribadi.

Dalam posting Facebooknya sempena tahun baharu, Najib berkata, beliau akan membersihkan nama di mahkamah atas pelbagai tuduhan yang telah dilemparkan oleh kerajaan PH.

"Jika saya diberikan perbicaraan yang adil, peguam saya dan saya yakin bahawa saya akan berjaya.

"Walaupun terdapat cubaan daripada beberapa pihak untuk menghalang saya daripada bersuara di media sosial, saya memberi kata janji bahawa saya akan terus mendengar, terus menjelaskan isu masa lalu dan semasa yang penting kepada rakyat dan terus bersuara demi saudara-saudari.

"Ini adalah kerana masalah yang dihadapi saudara-saudari, isu-isu harian dan masa depan anak-anak Malaysia amatlah penting dan dekat di hati saya,” katanya.

Bukan sahaja dirinya, Ahli Parlimen Pekan itu juga menyatakan ramai rakyat akan melalui tempoh sukar pada tahun 2019.

"Keadaan ekonomi kita semakin lemah, kos sara hidup semakin meningkat dan terpaksa juga menerima hakikat pahit bahawa banyak janji manis yang tidak akan ditunaikan oleh kerajaan.

"Saya telah bertemu dengan ramai dari seluruh negara dan mendengar sendiri ketidakpuasan, kemarahan dan kekecewaan rakyat.

"Ramai yang mengatakan mereka kini menyedari bahawa mereka terpedaya dengan pelbagai propaganda politik dari PH dan mereka hanya dapat melihat realitinya selepas kerajaan BN jatuh,” dakwanya.

Dalam pada itu, Najib berterima kasih atas sokongan berterusan diterimanya sepanjang 2018.

"Sejak saya menjadi lebih aktif secara peribadi di media sosial, saya lihat terdapat sambutan dan sokongan daripada rakyat.

"Pada saat dan ketika saya berdepan dengan cabaran dan pelbagai isu politik, kata-kata sokongan dan doa daripada saudara-saudari telah memberikan saya semangat semula,” katanya.