GOPENG - Kementerian Kesihatan (KKM) tidak membuat sebarang ketetapan kadar caj pemeriksaan kesihatan ke atas pemandu e-hailing yang memohon atau memperbaharui lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV).
Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata, ini kerana fokus kementerian adalah untuk memastikan setiap pemeriksaan kesihatan itu dijalani mengikut keperluan ditetapkan dan prosedur yang betul.
"Dari segi caj (perkhidmatan), biarlah pasaran yang membuat keputusan. Jika ada yang menawarkan pada kadar lebih rendah, itu terpulang kerana itulah ketetapan pasaran.
"Di pihak kementerian kita hanya nak pastikan pemeriksaan itu betul-betul dijalankan dengan cara yang baik dan pada tahap memuaskan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng hari ini.
Hadir sama, Pengarah Kesihatan Perak, Dr Ding Lay Ming dan Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Ir Zamzurin Maarof.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai gesaan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang mahu Kementerian Kesihatan menyiasat jenis pemeriksaan kesihatan yang ditawarkan kepada pemandu e-hailing dengan harga RM20.
Persatuan Pemandu Perkhidmatan E-Hailing Malaysia (MeHDA) sebelum ini meminta kerajaan membatalkan keputusan menetapkan kadar pemeriksaan kesihatan kepada pemohon atau mereka yang membaharui lesen PSV kepada RM80 seorang.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Gopeng itu berkata, dalam hal itu, kementerian sedia menjalankan siasatan termasuk melakukan ujian sampel bagi menentusahkan pemeriksaan kesihatan dijalani pemandu e-hailing sebelum ini mengikut keperluan ditetapkan.
Katanya, adalah sukar untuk menyatakan sama ada dengan bayaran RM20 itu, mereka telah mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan yang berkualiti atau sebaliknya.
"Kita akan siasat, mengambil sampel dan tengok adakah mereka (pemandu e-hailing) yang diluluskan ini betul-betul menjalani pemeriksaan dengan tahap memuaskan," katanya.