HANTARAN dimuat naik seorang mahasiswa mahu mengumpul dana demi membantu seorang tukang cuci yang dimuat naik di Twitter pada Rabu lalu akhirnya membuahkan hasil.
Mahathir Mohd Noor, 22, dari Universiti Malaysia Sarawak Kota Samarahan memberitahu, dia nekad membantu wanita berusia 40-an itu kerana simpati dengan hidupnya.
Kata Mahathir, hubungan dia dengan wanita yang dipanggil mak cik itu sangat rapat.
"Mak cik itu memang rapat dengan ‘student’. Dia selalu borak dengan ‘student’, sering beri kami makanan dan saya kenalnya hampir tiga tahun.
"Saya tegur kenapa masih memakai jam tangan itu, dia sekadar membalas, jam itu sangat istimewa,” katanya merupakan pelajar tahun akhir fakulti kejuruteraan.
Bersimpati dengan nasib mak cik itu, Mahathir telah memuat naik status di Twitter bagi mengumpul wang untuk membantu ibu tunggal tersebut.
"Saya ciap status itu pada 25 September lalu, kurang dua hari, wang berjaya dikumpul kira-kira RM800 daripada kenalan di Twitter.
Jelasnya, wang terkumpul itu digunakan untuk membeli seutas jam tangan bernilai RM298 manakala selebihnya membeli keperluan barangan dapur.
"Baki duit itu saya beli barang dapur untuk pekerja tukang bersih seramai lapan orang.
"Kebanyakan mereka ibu tunggal dan sangat memerlukan bantuan,” katanya kepada Sinar Harian.
Kata Mahathir, dia terharu kerana wanita berkenaan sudi menerima bantuan daripadanya.
"Alhamdulillah lebih daripada yang saya sangka, terima kasih kepada mereka yang sudi membantu makcik dan dipermudahkan urusan,” katanya.
Dalam pada itu, Mahathir juga menyatakan tujuan memuat naik status bantuan di media sosial bukan untuk menarik perhatian netizen sebaliknya ikhlas membantu golongan memerlukan.
"Sebenarnya, usaha nak tolong orang bukan terikat dengan wang ringgit, kita boleh sumbang tenaga ataupun guna platform yang ada untuk ‘spread positivity’.
"Dalam hal ini, saya guna sikit ja duit saya, yang lain gunakan tenaga untuk salurkan duit derma untuk tolong orang yang memerlukan.
"Kecaman yang diterima ada, tapi saya ikhlas dan sentiasa positif sebab dalam kecaman, ada juga yang banyak beri kata-kata semangat,” katanya.