KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa bon Genting Sanyen (M) Sdn Bhd dijual kepada pelabur dengan kaedah 'tawaran persendirian' kerana bon itu tidak disenaraikan di mana-mana pasaran bon.
Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata, cara terbitan bon ini berbeza dengan terbitan bon Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd (TEHSB) di mana bon Genting Sanyen dijual kepada pelabur dengan kaedah tawaran persendirian yang diaturkan oleh pihak Goldman Sachs.
"Ini bermakna tidak ada pekeliling tawaran diperlukan kerana bon Genting Sanyen tidak akan disenaraikan di mana-mana pasaran bon. Setelah bon ini dibeli oleh pelanggan bon, segala urusan bayaran faedah diuruskan oleh pihak pengurusan bon iaitu BNY Mellon New York," katanya.
Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya di Mahkamah Tinggi di sini pada hari ke-15 perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan dana 1MDB semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.
"Pada masa itu boleh saya katakan, yang 'driver' untuk proses pembelian Genting dan pengumpulan dana bukan lagi saya atau ahli lembaga pengarah, tetapi adalah dari Pejabat Perdana Menteri (Najib) dan Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho).
"Jho Low ada memaklumkan kepada saya bahawa jaminan dari International Petroleum Investment Co (IPIC) adalah untuk US$3.5 bilion, jadi apabila ‘tranche’ kedua US$1.75 bilion ini diterbitkan, ia bukanlah sesuatu yang baru atau mencurigakan.
"Kandungan harga belian, pengumpulan dana dan jaminan IPIC juga ada dalam dokumen ‘topik perbincangan’ yang dihantar kepada saya dari Jho Low melalui email atau BBM.
"Topik perbincangan tersebut dihantar oleh Jho Low kepada saya melalui emel namun seperti yang saya katakan sebelum ini ia telah dipadam seperti yang diarahkan oleh Jho Low bagi menjaga kepentingan Najib," kata saksi itu.
Shahrol Azral juga berkata pada 10 Ogos 2012 resolusi kelulusan pengambilalihan Genting IPP telah diluluskan dan ditandatangani oleh Najib sebagai pemegang saham.
"Resolusi kelulusan melalui ‘Special Rights Redeemable Preference Shareholder’s Resolution’ dan ‘Ordinary Resolution’ ini sepatutnya dikeluarkan selepas ‘Director Circular Resolution’ (DCR).
"Tetapi seingat saya selalunya DCR yang BOD tandatangan akan dilampirkan sekali dengan ‘Special Rights Redeemable Preference Shareholder’s Resolution’ dan ‘Ordinary Resolution’ yang telah ditandatangani oleh Najib tanpa tarikh, sebagai rujukan. Itulah praktis yang diamalkan di 1MDB," kata saksi itu.
Menyentuh mengenai perjanjian jual-beli (SPA) Genting Power di antara 1MDB, Genting Power (M) Limited dan Genting Power Holdings Ltd, saksi berkata beliau menandatangani dokumen perjanjian itu yang disediakan oleh peguam Jasmine Loo dengan bantuan Goldman Sachs sebagai Penasihat Kewangan pada 13 Ogos 2012.
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di tempat sama.
Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah. - Bernama