SHAH ALAM - Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar akan mengulangi soalan yang pernah diutarakan kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sidang Dewan Rakyat yang lepas berkenaan sama ada suspek yang terlibat dengan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim masih berada dalam negara ataupun tidak.
Beliau dalam hantaran Facebooknya berkata, soalan tersebut akan diajukan buat kali kedua kerana tidak berpuas hati apabila soalan tersebut yang ditanya sebelum ini tidak tersenarai untuk dijawab Muhyiddin semasa sesi soal jawab lisan, sebaliknya hanya mendapat jawapan bertulis.
Iklan
Iklan
"Saya sememangnya tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan kerana saya sudah ramal bahawa kes ini akhirnya terbukti wujud unsur jenayah.
"Ramalan saya tepat sekali, persoalannya sekarang jika polis nak panggil semula empat suspek tersebut, adakah mereka masih berada dalam negara? Tetapi menteri tidak menjawab soalan saya (pada Sidang Dewan Rakyat lepas)," tulisnya hari ini.
Pada 9 Julai lalu, menerusi jawapan bertulis terhadap soalan Noh berkait isu Muhammad Adib, Muhyiddin berkata, siasatan kes tersebut dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.
Muhyiddin menjelaskan, pihak polis telah membuat tangkapan ke atas keempat-empat suspek dan rakaman percakapan kesemua suspek telah diambil bagi tujuan siasatan dengan kesemua suspek kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis kerana hasil siasatan mendapati tiada keterangan atau petunjuk untuk mengaitkan mereka dengan kes ini.
Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, tiada keperluan untuk pihak polis memantau pergerakan keempat-empat individu dibebaskan itu kerana mereka tidak lagi dalam siasatan pihak polis, namun memberitahu pihak polis akan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat petunjuk baharu yang boleh mengaitkan keempat-empat suspek atau mana-mana individu dengan kes berkenaan.