JAKARTA - Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi menegaskan rusuhan yang berlaku di bandar Wamena, Papua bukan konflik etnik.
"Jangan ada sesiapa mengaitkan kejadian itu dengan konflik etnik. Tidak! Ia adalah kumpulan penjenayah bersenjata yang turun dari kawasan pergunungan dan membakar rumah penduduk," tegasnya.
Menurut Jokowi, pihak keselamatan sedang berusaha keras untuk melindungi semua penduduk di wilayah itu dan beliau juga memuji tindakan Ketua Lembah Baliem yang menasihatkan penduduknya supaya tidak keluar ke Wamena.
"Ini adalah tindakan yang bijak. Pihak polis telah menahan beberapa suspek yang melakukan pembunuhan dan pembakaran di Wamena," katanya.
Dalam pada itu, Jokowi turut menyampaikan takziah kepada keluarga 33 orang yang terkorban dalam rusuhan tersebut.
Sementara itu, Gabenor Papua, Lukas Enembe memohon maaf di atas kejadian menggegarkan Wamena di Jayawijaya yang turut menyebabkan beberapa bahagian di bandar itu lumpuh serta ribuan lagi melarikan diri dari kediaman mereka.
"Saya mohon maaf dan takziah kepada semua mangsa rusuhan di Wamena pada 23 September lalu," katanya seperti dilaporkan agensi berita Antara.
Enembe berkata, pentadbirannya akan membina semula dan memulihkan aset kerajaan tempatan serta kedai yang dimiliki penduduk.
Menurutnya lagi, kerajaan tempatan, polis dan Tentera Indonesia (TNI) akan menjamin keselamatan penduduk Papua dan penduduk asli Papua di wilayah itu.
"Orang ramai tidak perlu takut kerana kita akan menjamin keselamatan rakyat," tegasnya.
Rusuhan maut di Wamena pada 23 September lalu tercetus selepas seorang guru didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman yang mengundang kemarahan penduduk. - Agensi
ARTIKEL BERKAITAN: