Semua kenderaan KKM punyai rekod penyelenggaraan baik

Iklan
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye menyempurnakan gimik perasmian Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng hari ini.

GOPENG - Semua kenderaan Kementerian Kesihatan terutama ambulans mempunyai rekod penyelenggaraan yang baik.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, berdasarkan rekod, syarikat konsensi yang dilantik mematuhi peraturan ditetapkan dengan melakukan penyelenggaraan secara berkala setiap tiga bulan.

Iklan
Iklan

"Mereka menepati apa yang ditetapkan," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng hari ini.

Beliau berkata, bagi kes kenderaan lama, penilaian akan dibuat Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan kementerian sama ada masih perlu diselenggara atau dilupuskan.

Iklan

"Sekiranya kenderaan itu sudah terlalu lama dan tidak boleh dibaiki, maka ia akan dilupuskan, namun jika masih boleh digunakan, ia perlu melalui penyelenggaraan ditetapkan setiap tiga bulan," katanya.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan melihat semula rekod penyelenggaraan kesemua ambulans di bawah kementerian itu.

Iklan

Ia susulan insiden membabitkan ambulans sehingga mengorbankan pemandu dan seorang pesakit wanita di Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di Slim River, 4 Ogos lalu.

Siasatan mendapati, kejadian dipercayai berpunca daripada tayar belakang sebelah kanan yang pecah sebelum ia hilang kawalan dan terbabas melanggar pembahagi jalan.

Mengulas lanjut, Boon Chye berkata, pihaknya akan memberi penekanan terhadap penyelenggaraan berkala termasuk tayar dan penyediaan kursus kepada pemandu bagi mengelak kemalangan berulang.

Katanya, berdasarkan kajian didapati pemandu, keadaan kenderaan dan jalan raya adalah antara faktor kemalangan.

"Untuk tayar khususnya, kita telah putuskan ia tidak boleh melebihi tiga tahun daripada tarikh pembuatan manakala pemandu akan diberi latihan pemeriksaan kenderaan serta kursus pemanduan berhemah," katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Ahli Parlimen Gopeng itu berkata, kes kemalangan jalan raya melibatkan pemanduan pergi dan balik dari tempat kerja serta pemanduan kenderaan jabatan mencatatkan bilangan tingg, tahun lalu membabitkan 211 kes di Perak.

Program itu turut dihadiri Pengarah Kesihatan negeri, Dr Ding Lay Ming dan Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Ir Zamzurin Maarof.