IPOH - Penceramah bebas terkenal, Ebit Lew melalui Instagramnya berkongsi kegembiraan bertemu seorang lelaki berketurunan India yang membantunya ketika beliau terbabit kemalangan di Ipoh kelmarin.
Kemalangan itu membabitkan lima kenderaan sehingga mengakibatkan tayar kenderaan Ebit Lew pecah selepas terlanggar sebatang besi di tengah lebuh raya.
Ebit turut berkongsi kebaikan Tiyahgah Raja yang menjadi individu pertama membantu tanpa mengira bangsa dan agama.
"Rahmat ALLAH malam ni saya jumpa seorang India, Tiyahgah Raja.
"Baik sangat orangnya. Raja ajak saya naik keretanya sampai nak hantar balik rumah.
"Syukur dapat berkongsi dan berdakwah. Allahuakbar. Terkesan dengan akhlaknya, dia seorang India dan bukan Islam.
"Fasih sangat cakap Melayu. Abang (Raja) ni suka tolong orang. Sudah 30 tahun jadi ‘driver’ selalu tolong orang. Dari mula sampai habis, dia sibuk tolong semua orang,” tulis beliau di Instagramnya.
Katanya, pertemuan itu menjanjikan 1,001 rahmat kerana Raja turut memberitahu tidak pernah dipeluk seorang bergelar ustaz sepanjang hidupnya.
"Sepanjang jalan saya cerita hikmah, ini kerana kebaikan ALLAH selamatkan kita dari musibah lebih besar.
"Tiba sahaja di rumah, saya peluknya lama dan rasa sayang padanya. Walau berlainan bangsa dan agama. Rasa sayang dan terhutang budi padanya.
"Dia suka sangat dan hormat pada Islam. Dari tadi Raja mesej saya katanya suka pada kebaikan Islam. Ini semua rahmat ALLAH, ALLAH temukan kita. ALLAH sayang kita,” katanya sebak.
Dalam pada itu, Ebit Lew telah memuat naik video kemalangan itu di Instagram yang kini meraih 432, 647 tontonan dalam tempoh 24 jam.