SHAH ALAM - Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap aktiviti pembalakan dan perlombongan haram di seluruh negara.
Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, masalah pembalakan dan perlombongan haram bukan hanya berlaku di Kelantan namun berlaku juga di negeri-negeri lain.
Menurutnya, pembalakan di Kelantan sangat serius sehingga hampir memusnahkan keseluruhan hutan.
"Saya harap SPRM menjalankan siasatan kepada semua negeri dan bukan hanya Kelantan.
"Keadaan hutan di Kelantan sudah terlampau teruk. Pihak yang tidak bertanggungjawab ini mengerjakan hutan sehingga hancur.
"SPRM jangan pilih bulu, jangan hanya tangkap 'ikan bilis' tetapi tangkap 'jerung' dan 'ikan paus' sekali," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada SPRM di atas kejayaan badan itu melumpuhkan sindiket rasuah berkaitan hutan.
Katanya, berita tersebut sangat menggembirakan Peka kerana ia melibatkan alam sekitar dan kepentingan awam.
ARTIKEL BERKAITAN: SPRM tahan bekas Pengarah Kastam: Latheefa
Hari ini Sinar Harian melaporkan, masalah pembalakan dan perlombongan haram yang berlaku di Kelantan sangat serius sehingga diibaratkan kanser tahap empat.
Menurut seorang aktivis alam sekitar yang enggan dikenali, aktiviti berkenaan juga sangat aktif dan hanya diketahui oleh pihak tertentu.
Katanya, pembalakan haram di Kelantan hari ini sangat kritikal dan ia didapati berlaku secara aktif di kawasan pembalakan berlesen pula.
ARTIKEL BERKAITAN: Pembalakan haram di Kelantan ibarat kanser tahap 4