KKM batal notifikasi 4 produk kosmetik mengandungi racun berjadual

Iklan
Dr Noor Hisham - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan hari ini membatalkan notifikasi terhadap empat produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual di dalam produk mereka.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata, produk berkenaan ialah Dnars Gold Glowing Serum (Day) (racun Triamcinolone Acetonide) dan Dnars Gold Balen Cream (Night) (racun Hydroquinone; Betamethasone Valerate).

Iklan
Iklan

Selain itu, produk terlibat termasuk Tresors Natural Herbal Cream (racun Chloramphenicol; Sulfamethoxazole; Trimethoprim; Ketoconazole) dan Labeauty Booster Night Cream (Merkuri).

Dr Noor Hisham berkata, semua bahan yang dikesan merupakan ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Iklan

"Penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan profesional kesihatan dan secara tidak terkawal boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, penjual dan pengedar produk kosmetik tersebut perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta kerana produk tersebut melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Iklan

Tegasnya, individu melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.

"Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Beliau menyarankan kepada orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik tersebut agar segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers. - Bernama